Devamani menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang wanita yang menggunakan kad pengenalan serta resit pajak gadai yang ditemui dalam beg tangannya untuk menebus gelang miliknya. FOTO Muhaizan Yahya
Devamani menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang wanita yang menggunakan kad pengenalan serta resit pajak gadai yang ditemui dalam beg tangannya untuk menebus gelang miliknya. FOTO Muhaizan Yahya
Farah Suhaidah Othman


TUKANG masak bukan saja kehilangan beg tangan mengandungi barang peribadi selepas kereta dipecah perompak malah kerugian RM2,000 selepas suspek menebus gelang miliknya di sebuah kedai pajak gadai.

TR Devamani, 38, berkata, dia meletakkan Proton Saga di Jalan Silibin, Ipoh pada 2 Disember lalu dan masuk ke gereja berdekatan.

Katanya, dia bagaimanapun meninggalkan beg tangan di bawah tempat duduk pemandu sebelum kembali semula ke kenderaan untuk mengambil barang.

“Apabila saya kembali, saya mendapati cermin kereta di sebelah kanan dipecahkan sebelum menyedari beg tangan saya hilang,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA Perak di Ipoh, hari ini.

Dia berkata, akibat kejadian itu, dia kehilangan beg tangan yang mengandungi barangan peribadi termasuk kad pengenalan, lesen memandu, beberapa kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), telefon bimbit dan wang tunai serta resit surat pajak gadai di sebuah syarikat pajak gadai di Jalan Sultan Iskandar.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Ipoh pada hari yang sama.

“œDua hari kemudian, apabila saya mahu mendapatkan kembali gelang saya di sebuah kedai pajak gadai, saya dimaklumkan seorang wanita menebus gelang berkenaan.

“Pekerja itu memaklumkan, wanita berkenaan menggunakan kad pengenalan serta resit pajak gadai yang ditemui dalam beg tangan saya itu untuk menebus gelang terbabit,” katanya.

Dia terkilan kerana gelang itu adalah warisan keluarganya dan ditebus oleh individu tidak dikenali.

Sementara itu, Ketua Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA negeri Jimmy Loh berkata, dia meminta syarikat pajak gadai meningkatkan aspek keselamatan dari segi tuntutan penebusan barangan kemas.

Katanya, syarikat terbabit perlu mendapatkan pengesahan kad pengenalan daripada pemilik sebenar supaya masalah berkenaan tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 4:50 PM