Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Polis menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes pecah rumah di kawasan daerah Machang yang didalangi suami isteri selepas mereka ditangkap di Kampung Jebak, Pasir Puteh, Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superitendan Mohd Zahir Abdullah berkata, pasangan berusia 30-an itu menyasarkan rumah di kawasan terpencil dan melakukan jenayah pada waktu tengah malam sehingga awal pagi ketika penghuni sedang tidur.

Katanya, hasil siasatan, suspek lelaki mengaku melakukan jenayah di sekitar Machang dan semakan mendapati terdapat enam kejadian dilaporkan dalam tempoh dua bulan.

"Ketika sepasukan polis dari Cawangan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menangkap suspek, turut dijumpai beberapa barang seperti 11 telefon bimbit pelbagai jenama, 14 beg galas, kad pengenalan, tiga jam tangan, tujuh resit membeli emas surat pajak, tiga gelang tangan emas; dua rantai leher emas; dua subang emas; dan masing-masing seutas cincin emas serta kerongsang emas.

"Kesemua barang kes yang dirampas di rumah suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini dan pada masa sama, pihak kami juga merampas sebuah kereta yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah berkenaan.

"Dianggarkan nilai keseluruhan barangan yang dirampas termasuk kereta milik suspek berjumlah hampir RM100,000," katanya dalam sidang media di IPD Machang, di sini, hari ini.

Mohd Zahir berkata, suspek mengaku menjual barangan kemas yang dilarikan itu di kedai pajak kedai di sekitar Pasir Puteh dan Machang dan wang yang diperoleh itu digunakan untuk membeli dadah.

Mengulas lanjut, Mohd Zahir berkata, pasangan terbabit direman selama seminggu sehingga 11 Ogos bagi membantu siasatan dan hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek lelaki mendapati positif dadah Methamphetamine.

"Walau bagaimanapun, pihak kami masih menjalankan siasatan mengenai penglibatan suspek dengan kejadian pecah rumah di daerah lain dan pengakuan awal mendapati pasangan berkenaan melakukan jenayah secara bersendiri tanpa membabitkan pihak luar.

"Selain itu, semakan rekod lampau juga mendapati suspek lelaki memiliki sembilan rekod lampau bermula dari tahun 2011 hingga 2021 atas kesalahan jenayah berkaitan dadah," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

MOHD Zahir (tiga kanan) menunjukkan resit membeli emas surat pajak yang dirampas. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MOHD Zahir (tiga kanan) menunjukkan resit membeli emas surat pajak yang dirampas. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 12:24 PM