ANGGOTA polis membawa mangsa lelaki yang ditemui lemas di Sungai Kelantan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat. FOTO Rosliza Mohamed
ANGGOTA polis membawa mangsa lelaki yang ditemui lemas di Sungai Kelantan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat. FOTO Rosliza Mohamed
Rosliza Mohamed


LELAKI ditemui lemas di Sungai Kelantan dekat Lembah Sireh, Kota Bharu, 3.20 petang tadi iaitu kira-kira dua jam selepas dia dilapor hilang.

Mayatnya yang yang masih belum dikenal pasti ditemui pasukan penyelamat pada kedalaman 3.5 meter dan jarak 0.6 meter dari tebing.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong Pegawai Bomba Kanan II Che Zamri Che Ya berkata, seramai 10 anggota termasuk empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terbabit operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.

"Kita terima panggilan kecemasan pada 1.20 tengah hari dan PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu ke lokasi dibantu anggota BBP Tunjong dan Kota Darulnaim.

"Mangsa ditemui masih berpakaian lengkap kira-kira dua jam operasi mencari. Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ditemui, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk dibedah siasat.

"Identitinya masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama," katanya.

Berita berkaitan

Timbul tenggelam sebelum hilang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 5:36 PM