BARANG yang dirampas daripada suspek pecah rumah.
BARANG yang dirampas daripada suspek pecah rumah.
Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur : Seorang lelaki yang memecah masuk sebuah apartmen di Wangsa Maju, dekat sini, mengaku adik kepada pemilik rumah ketika ditanya jiran yang curiga dengan kelakuan suspek.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, suspek menumbuk muka jiran berkenaan sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian itu dirakam kamera keselamatan pada 1 Disember lalu membolehkan polis menjejaki dan menahan enam suspek termasuk dua wanita di sebuah rumah di Jalan 41/27B, Seksyen 2, Wangsa Maju, Selasa lalu.

“Jiran yang ternampak kejadian itu menegur suspek sebelum lelaki berkenaan mengaku sebagai adik pemilik rumah. Suspek mendakwa abangnya sedang menunggu di tingkat bawah.

“Tidak percaya dengan kata-kata lelaki itu, jiran mengikut suspek ke tingkat bawah dan sempat menarik beg dipegang suspek, sebelum lelaki itu menumbuk bahagian pipi kiri mangsa dan melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi lelaki dan seorang wanita menunggu suspek dalam sebuah Perodua Kancil.

“Jiran itu menghubungi pemilik rumah dan memaklumkan rumahnya dipecah masuk sebelum mangsa bergegas pulang dan mendapati kunci mangga pada jeriji besi rumahnya dipecahkan.

“Mangsa yang meninggalkan rumah dalam keadaan berkunci terus memeriksa dalam rumah dan mendapati laci serta rak berselerak sebelum menyedari seutas jam tangan bernilai RM15,000 lesap,” katanya.

Menurutnya, bertindak atas laporan mangsa, pihaknya ke sebuah rumah di Seksyen 2 dan menahan empat lelaki serta dua wanita berusia dari 33 hingga 40 tahun.

“Polis turut merampas jam tangan, dompet, kunci kereta dan sebuah kereta. Semua suspek yang tidak bekerja dan mempunyai rekod jenayah akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 6:26 AM