PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Nazli Md Taib (dua dari kiri) menunjukkan alat menghisap ganja dan ganja mampat yang ditemui dalam teksi dalam Ops Khas Perkhidmatan Awam (KPA) di tempat letak kenderaan jangka panjang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Hayati Ibrahim
PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Nazli Md Taib (dua dari kiri) menunjukkan alat menghisap ganja dan ganja mampat yang ditemui dalam teksi dalam Ops Khas Perkhidmatan Awam (KPA) di tempat letak kenderaan jangka panjang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Hayati Ibrahim
Hayati Ibrahim


TIGA pemandu teksi ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu dan ganja, serta memiliki ketulan mampat ganja, dalam Ops Khas Perkhidmatan Awam (KPA) di tempat letak kenderaan jangka panjang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Operasi yang dijalankan Pasukan Petugas Khas Bersama Lapangan Terbang (JATF) itu turut menemui 'dapur' menggunakan botol dan alat khas dipercayai digunakan untuk menghisap ganja.

Alat dan ganja mampat berkenaan disembunyikan di bawah lapik kaki dan tepi pintu bahagian tempat duduk pemandu dalam teksi dipandu lelaki tempatan berkenaan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Nazli Md Taib berkata, ketiga-tiga pemandu teksi berkenaan yang masing-masing berumur 27, 33 dan 46 tahun, ditahan antara 10 hingga 11 pagi ketika dalam perjalanan masuk dan keluar dari tempat letak kenderaan terbabit.

"Ketika ditahan, seorang daripadanya didapati sedang khayal, manakala dua lagi mengakui baru lepas menghisap barang terlarang itu.

"Ini satu penemuan yang agak serius kerana selain menagih mereka juga memiliki barang terlarang. Kami tidak dapat membayangkan bagaimana mereka boleh membawa penumpang dalam keadaan itu, dan tindakan ini mungkin boleh mendatangkan bahaya kepada penumpang," katanya kepada media ketika ditemui di lokasi operasi, semalam.

Operasi bermula 9.30 pagi hingga 3 petang itu mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dengan kekuatan 35 anggota dan pegawai.

Ini operasi pertama kali diadakan di kawasan tempat letak kenderaan jangka panjang yang menjadi lokasi pemandu teksi berkumpul.

Nazli berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka sudah memandu teksi antara 11 hingga 14 tahun.

Katanya, pemandu yang positif syabu diserahkan kepada AADK, manakala dua lagi yang positif syabu dan ganja serta memiliki ganja mampat diserahkan kepada Bahagian Narkotik PDRM untuk siasatan lanjut.

Selain itu, Nazli berkata, dalam operasi itu, pihaknya memeriksa 150 kenderaan pelbagai jenis dengan 20 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) tamat tempoh, cermin gelap dan sebagainya.

"Kita juga turut menyita sebuah lori yang dipandu lelaki warga asing yang tidak memiliki lesen serta pasport tamat tempoh.

"Lelaki berkenaan juga sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katannya.

Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasa AADK Sepang Farid Bujang berkata, pemandu teksi yang diserahkan kepada AADK akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983, manakala dua lagi mengikut Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki ganja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 4:50 PM