SEBAHAGIAN bekas kakitangan PKKN pada Majlis Pertemuan Semula Bekas Kakitangan PKKN, Sungai Buloh, semalam.
SEBAHAGIAN bekas kakitangan PKKN pada Majlis Pertemuan Semula Bekas Kakitangan PKKN, Sungai Buloh, semalam.
Syazwan Msar

Sungai Buloh: Stigma masyarakat terhadap individu yang bekerja dengan pesakit kusta dikatakan membawa malapetaka atau penyakit terhadap mereka.

Pengalaman itu dilalui kebanyakan pegawai perubatan, doktor dan jururawat ketika bertugas di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) hingga ada antara mereka berasa seperti terasing daripada masyarakat walaupun hakikatnya keringat dan bakti hanya untuk memastikan pesakit kusta pulih.

Namun, orang ramai tidak mengetahui di sebalik pelbagai cerita tidak enak mengenai PKKN yang dianggap sebagai koloni terasing oleh masyarakat sebenarnya penghuni pusat berkenaan hidup dalam keadaan bahagia dan penuh ceria.

Cerita sebelum ini yang dikatakan kawasan berkenaan penghuninya hidup dalam keadaan tekanan dan penuh kesedihan hanya khabar angin saja kerana bagi bekas pembantu jururawat Samsiah Karim, 66, berasal dari Setapak, Kuala Lumpur, kehidupan dalam koloni berkenaan seperti sebuah keluarga.

Samsiah yang bertugas di PKKN selama 35 tahun sejak 1977 berkata, walaupun pada hari pertama dia seperti mahu melarikan diri kerana takut melihat keadaan pesakit namun perasaan itu hilang dan timbul pula rasa kasihan kepada pesakit.

“Sudahlah mereka dibuang keluarga dan ditinggalkan sehelai sepinggang dan hanya jururawat saja individu yang sentiasa bersama pesakit kusta malah masalah yang dihadapi turut dikongsi bersama.

“Jika diikutkan pada awalnya memang takut kerana melihat mereka dengan keadaan yang sungguh derita dan ada antara pesakit mempunyai raut wajah agak menyeramkan,” katanya, ketika ditemui pada Majlis Pertemuan Semula Bekas Kakitangan PKKN, di sini, semalam.

Samsiah yang mempunyai enam anak dan 13 cucu berkata, selain melihat penderitaan ditanggung pesakit kusta, dia juga kagum dengan kesungguhan mereka untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik apabila mampu bercucuk tanam dan bertukang hingga menjadi pekerjaan tetap hingga ini.

“Pada peringkat awal iaitu sekitar 1970-an, saya menjaga lebih 1,000 pesakit terdiri daripada lelaki dan wanita di PKKN sebelum jumlah berkenaan berkurangan apabila penyakit berkenaan dapat dirawat.

“Walaupun kakitangan perubatan sentiasa bergaul dengan pesakit kusta setiap hari namun tiada seorang pun terkena penyakit berkenaan,” katanya.

Sementara itu, bekas ketua jururawat PKKN Norfishah Ibrahim, 64, berkata, walaupun pusat berkenaan dihuni pesakit kusta namun rata-rata kakitangan perubatan tiada masalah untuk bekerja walaupun kawasan itu cukup menakutkan masyarakat setempat.

“Saya diarahkan berpindah ke PKKN pada 1978 dan pada waktu itu memang terdetik di hati untuk lari kerana bakal ditempatkan di kawasan terasing daripada orang ramai.

“Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila melihat ada pesakit kehilangan kaki dan tangan selain tubuh badan penuh kudis atau luka hingga dihurung lalat.

“Namun semua itu pengalaman untuk menjadikan kita seorang yang penyabar dan kuat menghadapi cabaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 8:08 AM