SULAIMAN ketika bertugas di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN). FOTO Khairul Azhar Ahmad
SULAIMAN ketika bertugas di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN). FOTO Khairul Azhar Ahmad
Garret Dawum

Sungai Buloh: “Selama 30 tahun, saya hidup bersama pesakit kusta, meskipun ada berpendapat saya akan dijangkiti penyakit itu kerana tinggal bersama mereka,” kata pembantu perawatan kesihatan, Sulaiman Md Salleh, 53.

Dia yang bertugas di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) sejak 1988 berkata, kehidupannya di ‘perkampungan’ kecil itu sebenarnya memberi pelbagai kenangan dan mahu menukar pandangan negatif masyarakat terhadap pesakit kusta yang dikatakan membawa malapetaka.

“Sekarang ini semua pesakit sudah pulih, mereka sebenarnya sudah boleh pulang ke pangkuan keluarga dan menjadi sebahagian daripada masyarakat. Namun, kerana stigma dan pandangan negatif segelintir masyarakat ramai memilih untuk tinggal di PKKN sehingga ke akhir hayat.

“Sepanjang bertugas di PKKN, kami adalah tempat mereka bergantung hingga ada dalam kalangan pesakit menganggap kami sebagai keluarga,” katanya, ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Sulaiman yang mesra dengan panggilan Aman dalam kalangan penghuni PKKN berkata, sepanjang bertugas dia kerap mendengar luahan pesakit kusta yang berasa diri mereka disisihkan.

“Perasaan itu menyebabkan ada yang seperti sudah putus harapan untuk hidup. Tinggal di lokasi terasing dan terpisah dengan dunia luar sebenarnya amat menyeksakan buat mereka.

“Tetapi dengan kehadiran kakitangan seperti kami yang tidak jemu menabur bakti dan keringat membantu mereka, menghilangkan rasa kesedihan. Mereka mula anggap kami sebagai kawan dan ingin hidup bersama.

“Saya masih ingat ketika ditawarkan untuk bertugas di PKKN, memang berasa keberatan, kalau boleh nak tolak tawaran. Bukan apa saya berasa gerun kerana pernah melihat luka pesakit yang berair dan bernanah,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman yang dilalui sepanjang di PKKN, Sulaiman berkata, suasana di pusat itu sekitar 1980-an amat harmoni .

“Semuanya ada di PKKN. Panggung wayang, mahkamah, klinik, dewan, balai bomba dan polis. Malah, para pesakit juga mendapat banyak keistimewaan lain.

“Seawal jam 4 pagi kami bangun dan menyediakan sarapan bersama-sama, itu semua kenangan yang masih saya ingat sampai sekarang. Suasana di PKKN sekarang jauh berbeza dengan dulu, sekarang tempat ini sunyi, yang tinggal sekarang hanyalah pesakit sudah berusia,” katanya.

Selain itu, kata Sulaiman, bagi mengelakkan pesakit berasa terasing mereka kerap menganjurkan aktiviti untuk menghiburkan hati penghuni PKKN.

“Kami mahu melihat bekas pesakit terus berasa seronok untuk tinggal di sini. Antara yang kami lakukan ialah anjurkan aktiviti rumah terbuka dan lawatan ke Pulau Langkawi, Kedah.

“Aktiviti ini membantu mereka untuk melupakan stigma masyarakat. Sudahlah mereka dibuang keluarga dan ditinggalkan sehelai sepinggang hanya jururawat menjadi peneman dan tempat meluahkan kesedihan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan PKKN, Dr Radhiah Mustafar berkata, sejak 1996, pusat itu sudah tidak lagi menerima sebarang kes baru membabitkan pesakit kusta.

“Jumlah pesakit kusta yang ada di wad sekarang tinggal 53 orang iaitu 29 lelaki dan 24 perempuan, manakala, 62 pesakit tinggal di sentral.

“Sebenarnya mereka yang berada di PKKN adalah bekas pesakit yang sudah lama sembuh hasil rawatan menggunakan kaedah ‘Multi Drug Treatment’ (MDT) yang ada sekarang.

“Kami buat pemeriksaan dan ujian saringan ‘Slit Skin Smear’ setiap tahun kepada semua bekas pesakit bagi memastikan mereka bebas daripada masalah kusta,” katanya.

Dr Radhiah berkata, ubat rifampisin dapat membunuh kuman kusta seawal dua minggu dan bahan sama juga digunakan untuk mengawal penyakit berjangkit yang lain.

“Kami sediahkan kemudahan chalet sebagai penginapan pesakit, dengan cara ini mereka dapat mejalani kehidupan sama seperti masyarakat di luar sana.

“Selain itu, elaun kusta juga diberi sebanyak RM22 sehari untuk menampung kos sara hidup selain klinik yang dibuka dua kali seminggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 4:48 AM