SEBAHAGIAN pelajar dan guru bergambar kenangan selepas diraikan menerima keputusan cemerlang SPMdi Sekolah Menengah Agama Falahiah, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.
SEBAHAGIAN pelajar dan guru bergambar kenangan selepas diraikan menerima keputusan cemerlang SPMdi Sekolah Menengah Agama Falahiah, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.
Suliati Asri


KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 baru sahaja diumumkan.

Seramai 9,696 atau 2.54 peratus daripada 407,097 calon yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu memperoleh keputusan semua A.

Calon ini adalah kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) di tingkatan satu pada 2017.

Mereka juga melalui pengalaman pembelajaran yang mencabar dalam norma baharu sepanjang berada di tingkatan empat dan lima akibat pandemik Covid-19.

Jika diamati, bukan mudah untuk membuat persediaan menduduki peperiksaan dalam keadaan pembelajaran secara bersemuka yang terhad.

Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Mazarul Hasan Mohamad Hanapi berkata, KSSM yang menekankan kemahiran abad ke-21 memberi peluang kepada pelajar kohort pertama menterjemah pembelajaran ke tahap yang lebih tinggi sesuai dengan kebolehan pelajar.

Katanya, daya kreativiti pelajar lepasan SPM 2021 perlu diteruskan ke peringkat lebih tinggi supaya kemahiran dapat dicungkil dan kebolehpasaran ke arah kerjaya dapat direalisasikan.

"Pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) adalah satu proses pembelajaran yang berpusatkan murid berteraskan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika.

"Ia juga berunsurkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dilaksanakan dengan penyediaan bilik darjah bersesuaian dan disusuli penyediaan rancangan mengajar serta pelaksanaan pengajaran serta pemudahcaraan (PdPc) abad ke-21.

"Justeru, kemenjadian murid dalam sistem pendidikan di Malaysia perlu dititikberatkan dalam memastikan insan yang cemerlang dan seimbang bagi meneruskan kepimpinan generasi akan datang dalam pembangunan negara," katanya.

Kemahiran asas dalam pendidikan bagi pelajar lepasan SPM perlu dikekalkan bagi meneruskan pendidikan ke tahap pengajian tinggi.

Ini kerana pelbagai peluang pendidikan ditawarkan oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Swasta (IPS).

Oleh itu, kata Dr Mazarul, bagi yang ingin melanjutkan pengajian selepas selesai menduduki SPM, pastinya banyak persoalan memenuhi fikiran kerana kebanyakan pelajar lepasan SPM masih tercari-cari destinasi dan hala tuju kerjaya masing-masing.

"Pelajar pastinya sukar untuk membuat keputusan terbaik yang bakal menentukan masa depan sendiri.

"Ini kerana mereka perlu memastikan diri membuat pilihan yang bijak bagi menyambung pengajian sesuai dengan minat dan cita-cita.

CALON meraikan kegembiraan bersama bapanya, selepas mendapat keputusan cemerlang  dalam peperiksaan SPM 2021.
CALON meraikan kegembiraan bersama bapanya, selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2021.

"Jadi, haluan selepas SPM sememangnya menjadi dilema kepada pelajar," katanya.

Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM sudah pasti memilih universiti tempatan dan luar negara sebagai destinasi pengajian mereka seterusnya.

Bagi yang gagal melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan program matrikulasi pula mereka boleh melanjutkan pelajaran ke politeknik di seluruh Malaysia.

Di Politeknik, sudah disediakan beberapa program sama ada di peringkat sijil mahupun diploma.

Dr Mazarul berkata, ramai pelajar lepasan SPM menjadikan tingkatan enam sebagai destinasi terakhir mereka selepas SPM terutama apabila semua permohonan untuk menyambung pengajian ditolak.

Namun, sedar atau atau tidak, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga berharga sebenarnya.

"Ramai calon yang mengikuti pengajian di peringkat STPM berjaya menyambung pengajian di peringkat ijazah.

"Selain itu, menyambung pengajian di Program Teknikal dan Latihan Kemahiran adalah pilihan terbaik buat pelajar yang berminat dengan bidang kemahiran.

"Banyak program diploma dan sijil yang ditawarkan di Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) seperti Institut Kemahiran MARA (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan sebagainya. Program-program ini dapat melahirkan pekerja-pekerja yang berkemahiran tinggi dalam membantu membangunkan negara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (NiCE) Dr Kama Shafeei berkata, keputusan sudah pun diumumkan dan tahniah kepada calon yang berjaya mendapat keputusan sama ada cemerlang atau sebaliknya.

Namun, katanya bagi mereka yang tidak mencapai target jangan bersedih kerana gagal SPM bukan penamat kehidupan.

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bergambar bersama pelajar selepas mengadakan lawatan sempena keputusan SPM di SMK Presint 18 (1) Putrajaya.
MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bergambar bersama pelajar selepas mengadakan lawatan sempena keputusan SPM di SMK Presint 18 (1) Putrajaya.

"Tidak mendapat semua A tidak semestinya cita-cita yang diimpikan tertutup rapat. Jadikan anggaplah apa yang berlaku hari ini sebagai langkah pertama untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

"Kekuatan kendiri dan sokongan pelbagai pihak juga membantu pelajar lepasan SPM 2021 bersemangat dan meneruskan pendidikan ke tahap yang lebih tinggi.

"Oleh itu, sokongan pelbagai pihak dalam memastikan pelajar lepasan SPM meneruskan pendidikan di menara gading penting bagi menentukan hala tuju masa depan mereka," katanya.

Dr Kama berkata, pembabitan ibubapa dalam mencorakkan masa depan anak-anak dan sokongan komuniti pasti memberi impak yang besar bukan saja dalam sistem pendidikan negara tetapi kerjaya pelajar juga.

"Pelbagai tawaran yang disediakan terutama pihak kementerian seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pendidikan Malaysia dan sebagainya untuk melanjutkan pengajian juga dapat membantu merencana peluang pendidikan yang lebih luas.

"Pembabitan pihak swasta turut memeriahkan peluang pendidikan masa depan pelajar lepasan SPM. Akhirnya diharapkan sokongan pelbagai pihak memberi satu mandat dan kekuatan kepada pelajar lepas SPM meneruskan pengajian mereka," katanya.

Tuntasnya, menurut Dr Kama, pendidikan di Malaysia adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan membangunkan insan secara menyeluruh dan seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek untuk menjadi manusia yang sejahtera serta dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

"Pendidikan itu adalah nyawa, roh dan nadi pada sesuatu bangsa serta negara.

"Jatuh bangunnya sesuatu negara bergantung kepada generasi masa depan dan sistem pendidikan yang holistik.

"Oleh itu, konsep Keluarga Malaysia perlu diterjemahkan dengan ahli warganya yang berilmu, beramal dan mengaplikasi ilmu sesuai dengan Pendidikan Global dan Revolusi Industri 4.0," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 6:20 AM