Rohaida dipenjara tiga tahun lagi. FOTO Yazit Razali
Rohaida dipenjara tiga tahun lagi. FOTO Yazit Razali
Sarah Zulkifli


WANITA kerdil menyamar sebagai puteri Sultan Pahang yang dihukum penjara tiga tahun atas pertuduhan menipu pakar bedah kosmetik membabitkan kerugian RM1.2 juta, dipenjara tiga tahun lagi oleh Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini, selepas mengaku bersalah terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.84 juta.

Hakim Mohamed Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Rohaida Yahil, 41, selepas dia yang sebelum ini mengaku tidak bersalah menukar pengakuannya ketika sebutan semula kes itu.

Mahkamah turut memerintahkan Rohaida menjalani hukuman itu selepas dia selesai menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan menipu pakar bedah kosmetik, Datuk Dr Abdul Jalil Jidon, membabitkan RM1.2 juta, Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa memperoleh wang ke dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad cawangan Ampang Point miliknya melalui transaksi berjumlah RM3,400 daripada akaun simpanan Maybank milik Khuzairiah Abdul Latiff, 40.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan pula, dia didakwa memperoleh wang ke dalam akaun

simpanan CIMB Bank Berhad miliknya daripada Khuzairiah dan Mohd

Ghazali Othman, 45, melalui 284 transaksi berasingan yang kesemuanya berjumlah RM2,838,290.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank cawangan Ampang Point, No 23, Jalan Mamanda 7/1, Wisma Ampang Triangle, Jalan Ampang di sini antara 28 Ogos 2014 hingga 22 April 2016.

Bagi ketujuh-tujuh pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b)

akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela Shamsul Sulaiman memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan salah tertuduh selain anak guamnya itu sudah insafatas perbuatannya.

"Anak guam saya juga meminta maaf kepada mangsa serta kerabat Pahang kerana menggunakan nama mereka untuk menipu dan dia melakukan semua ini bertujuan mendapatkan lebih ramai kawan," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan alasan tindakan tertuduh menyebabkan jumlah kerugian yang besar ke atas mangsa.

Pada 14 Mac lalu, Rohaida dihukum penjara selama tiga tahun oleh dua Mahkamah Majistret di sini atas

53 pertuduhan menipu pakar bedah kosmetik membabitkan kerugian RM1.2 juta tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 7:31 PM