Anggota polis memeriksa mayat mangsa yang maut selepas motosikalnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 4, Jalan Kampung Koh-Ayer Tawar dekat Sitiawan, malam tadi. FOTO ihsan Miss Miko
Anggota polis memeriksa mayat mangsa yang maut selepas motosikalnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 4, Jalan Kampung Koh-Ayer Tawar dekat Sitiawan, malam tadi. FOTO ihsan Miss Miko
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI berusia 43 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Kampung Koh- Ayer Tawar dekat Sitiawan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, Wong Kim Huat, 43, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada beberapa anggota badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dan motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dari arah Ayer Tawar menghala ke Simpang Dua gagal mengelak motosikal mangsa yang pada mulanya berada di bahu jalan kiri sebelum mengubah laluan ke kanan jalan.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa dari Pekan Gurney, Sitiawan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadiaan.

“Pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 12:05 PM