JENAZAH pemandu Proton Iswara, Ahmad Arif, dibawa masuk ke dalam van jenazah oleh ahli keluarga dan kakitangan Hospital Yan.
JENAZAH pemandu Proton Iswara, Ahmad Arif, dibawa masuk ke dalam van jenazah oleh ahli keluarga dan kakitangan Hospital Yan.
Nur Syazwana Mansor


Yan: Dua lagi mangsa yang parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 16, Padang Lumat, Jalan Sungai Petani-Alor Setar, dekat sini, malam semalam, disahkan meninggal dunia awal pagi tadi, menjadikan keseluruhan enam mangsa terbunuh.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, dalam kejadian jam 9.16 malam, tiga mangsa iaitu pemandu kereta Proton Iswara, Ahmad Arif Othman, 27, pemandu teksi, Ooi Guan Seng, 72, dan penumpang hadapan teksi, Tai Cheng Kee, 69, disahkan meninggal dunia di tempat kejadiaan.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu penumpang hadapan kereta Proton Iswara, Mohamad Azzmi Azizan, 32, pula disahkan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Yan, menjadikan jumlah mangsa terbunuh pada hari kejadian seramai empat orang.

Katanya, dua mangsa yang parah iaitu penumpang teksi yang juga kakak pemandu, Oii Lian Choo, 76, dan penumpang Proton Iswara, Hajir Ibrahim, 53, pula meninggal dunia di Hospital Yan dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, masing-masing, awal pagi tadi ketika menjalani rawatan.

"Jenazah mangsa yang meninggal dunia di HY sudah dituntut ahli keluarga pagi ini untuk tujuan pengebumian," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 12:22 PM