Mary Victoria Dass


KERAJAAN negeri menerusi agensi berkaitan masih menjalankan siasatan berkaitan pencemaran ammonia yang menjejaskan sebanyak 360,000 akaun pengguna air di Johor membabitkan hampir dua juta penduduk sejak semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya berharap SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill) mengambil tindakan sesuai bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air.

"Saya perlu tahu daripada mana punca masalah pencemaran ammonia ini.

"Kami berharap SAJ mengambil tindakan dengan secepat mungkin," katanya di sidang media di Program Free Market di Ros Merah, Taman Johor Jaya di Johor Bahru, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill, Jamaluddin Jamal, berkata bekalan air dipulihkan secara berperingkat.

"Siasatan berkaitan kejadian juga sedang dijalankan dan sebarang pengumuman akan dilakukan kelak menerusi kenyataan media," katanya.

Semalam Loji Rawatan Air (LRA) Semangar ditutup diikuti dua lagi iaitu LRA Sungai Johor dan Tai Hong menyebabkan bekalan air bersih membabitkan terjejas di sekitar daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi.

LRA Semangar membabitkan 160,000 akaun dan dua lagi LRA itu membabitkan masing-masing 170,000 dan 30,000 akaun pengguna air.

Insiden penutupan LRA Semangar itu adalah kejadian kali ketiga penemuan ammonia dalam sumber air mentah di LRA berkenaan direkodkan sepanjang tahun ini.

Berita berkaitan

Tolonglah buat kerja!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 12:20 PM