Kakitangan SAJ memantau pencemaran ammonia di Rumah Pam Air Mentah Sungai Johor, Kota Tinggi yang menjejaskan bekalan air mentah di beberapa kawasan di daerah Johor Bahru. Gambar diambil pada 13 Julai 2016. FOTO arkib NSTP
Kakitangan SAJ memantau pencemaran ammonia di Rumah Pam Air Mentah Sungai Johor, Kota Tinggi yang menjejaskan bekalan air mentah di beberapa kawasan di daerah Johor Bahru. Gambar diambil pada 13 Julai 2016. FOTO arkib NSTP
Ibrahim Isa


KELEMAHAN pelbagai agensi kerajaan dalam memantau, mengenal pasti dan mengambil tindakan tegas terhadap dalang menyebabkan Sungai Johor sentiasa tercemar dengan kandungan ammonia tinggi sehingga mengakibatkan SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill) terpaksa menghentikan operasi Loji Rawatan Air Semangar, Kota Tinggi, Johor malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, kerajaan negeri terkilan apabila masalah sama berulang kerana sudah lama mengingatkan pihak berkenaan supaya berperanan mengikut bidang kuasa masing-masing.

"Masalah ini sudah berlarutan dan hampir setiap tahun pasti ada loji rawatan air terpaksa dihentikan operasi kerana kandungan ammonia tinggi sedangkan punca masalah itu sudah dikenal pasti dan jalan penyelesaian sudah digariskan.

"Saya yakin, sekiranya semua agensi kerajaan yang menjalankan peranan masing-masing, masalah ini tidak akan berulang hingga mengganggu aktiviti harian ratusan ribu penduduk.

"Nampaknya, agensi kerajaan berkaitan masih tidak mengambil iktibar dari kejadian lalu hingga ia berulang. Dalam kes pencemaran Sungai Johor malam tadi, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam proses mengenal pasti punca tetapi saya syak ia disebabkan punca sama seperti sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil termasuk menutup operasi kilang, ladang atau pusat ternakan yang menyebabkan sungai tercemar.

Katanya, difahamkan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) kini dalam proses meletak sistem penggera bagi memudahkan mereka mengawal pencemaran.

"Apa yang penting, saya cadangkan semua agensi kerajaan mengenakan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada bagi menjaga kepentingan pengguna yang ramai," katanya.

Terdahulu SAJ Ranhill dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan pihaknya terpaksa menghentikan operasi di Loji Rawatan Air Semangar berikutan kandungan ammonia tinggi sejak malam semalam.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Jamaluddin Jamil berkata, ia adalah kejadian ketiga tahun ini dan pihaknya terpaksa berbuat demikian (menghentikan operasi) bagi mengelak kesan ammonia masuk ke dalam sistem rawatan air bersih dan mengganggu kualiti air yang bakal diterima pengguna.

"Kualiti air dibekalkan SAJ Ranhill menjadi keutamaan dan perlu mematuhi piawaian paras ammonia ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu pada paras 1.5 part per billion (ppm).

"Kami terpaksa mengambil keputusan tidak merawat air mentah kerana mengandungi kandungan ammonia yang tinggi sehingga 2.75 ppm walaupun sedar ia loji utama bagi menyalurkan air terawat ke sebahagian Johor Bahru dan Kulai," katanya.

Sebanyak 160,000 pengguna SAJ Ranhill terjejas di sepanjang Jalan Senai-Seelong; keseluruhan Kulai dan Senai; Gelang Patah dan Iskandar Puteri; Taman Impian Emas; Taman Sri Putra; Taman Impian Skudai, keseluruhan Kempas; Taman Sri Austin dan kawasan sekitar serta kawasan sekitar Kangkar Pulai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 4:55 PM