Othman Mamat


SEMUA kereta penumpang di Jepun dan Amerika Syarikat bakal dilengkapi modul komunikasi data dan sambungan ke Platform Perkhidmatan Mobiliti yang tersedia dalam Clouds menjelang 2020.

Sistem pemanduan automatik, iaitu antara fokus utama Toyota Motor Corporation (TMC), turut menjadi keutamaan pembangunan teknologi oleh syarikat pengeluar gergasi kenderaan Jepun itu dalam usaha merealisasikan konsep 'mobiliti untuk semua'.

Naib Presiden Eksekutif TMC, Didier Leroy berkata teknologi dalam industri permotoran hari ini berubah lebih pantas berbanding era sebelum ini dan TMC memandang perubahan ini sebagai peluang untuk mengubah diri sendiri.

"Walaupun kita bergerak ke era baru, seperti robot pembantu manusia atau perkhidmatan kongsi kereta, ada sesuatu yang lebih istimewa mengenai kereta, semua bentuk mobiliti harus terus memberikan inspirasi ialah kebebasan kerana apabila manusia bebas bergerak, segalanya mungkin dapat dilakukan.

"Sebab itulah saya percaya kereta ialah keseronokan dan manusia menganggap kereta satu benda yang mereka sayangi, bukan sekadar sebuah jentera," katanya ketika ucapan pembukaan pameran TMC pada Tokyo Motor Show 2017 di Tokyo Big Sight, Koto-ku, hari ini.

TMC memperagakan beberapa model baru kereta termasuk model konsep keluarannya termasuk kereta mewah klasik Century, model Japan Taxi, kenderaan utiliti sukan Tj Cruiser, kereta futuristik Concept-i iaitu yang dibangunkan menerusi 'Artificial Intelligence' dan teknologi disambungkan yang didatangkan bersama kenderaan i-Ride dan i-Walk.

Leroy berkata, Toyota menyayangi kereta dan memang menjadi komitmen TMC untuk terus memberikan kemudahan mobiliti yang lebih baik kepada pengguna memandangkan teknologi membolehkannya mencapai lebih banyak kemajuan.

"Dan saya memberi jaminan bahawa mobiliti kami akan sentiasa menyeronokkan," katanya.

Menurutnya, sejak memperkenalkan model pertama yang menjadi perintis kereta elektrik iaitu Prius kira-kira 20 tahun lalu, setakat ini Toyota telah menjual 11 juta unit kereta elektrik di seluruh dunia.

Pada masa ini, katanya Toyota menjual 37 model kereta elektrik di lebih 90 negara dengan sejumlah 1.5 juta unit dijual setiap tahun atau 43 peratus daripada jumlah keseluruhan kereta elektrik yang dipasarkan.

"Mesej kami sangat jelas, elektrik telah mengubah pengangkutan ke arah kebaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 11:31 PM
Kereta Concept-i yang dipersembahkan Toyota Motor Corporation pada Pameran Motor Tokyo 2017 dan Naib Presiden Eksekutif Toyota Motor Corporation, Didier Leroy (gambar kecil). FOTO Othman Mamat
Kereta Concept-i yang dipersembahkan Toyota Motor Corporation pada Pameran Motor Tokyo 2017 dan Naib Presiden Eksekutif Toyota Motor Corporation, Didier Leroy (gambar kecil). FOTO Othman Mamat