Pameran Motor Tokyo ke-45 yang berlangsung di Tokyo Big Sight, Koto-ku, Tokyo. FOTO Mohd Razlan Salleh
Pameran Motor Tokyo ke-45 yang berlangsung di Tokyo Big Sight, Koto-ku, Tokyo. FOTO Mohd Razlan Salleh
Mohd Razlan Salleh


PENGELUAR gergasi kenderaan Jepun, Honda komited untuk membangunkan kenderaan 'karbon sifar' termasuk menguasai dua pertiga pasaran automotif dunia menjelang 2030.

Presiden dan Wakil Pengarah Honda Motor Co Ltd Takahiro Hachigo berkata, ketika ini Honda memiliki 28 juta pelanggan di seluruh dunia melalui pelbagai rangkaian produk termasuk motosikal, jentera empat roda dan jet.

"Jualan pelbagai model empat roda seperti Civic, Accord dan CR-V sangat memberangsangkan dan menjadi asas kepada Honda untuk membina jentera yang lebih baik dari segi gaya serta pemanduan pada masa hadapan.

"Antaranya model Plug-in Hybrid Clarity berkuasa elektrik sehingga jarak perjalanan ditingkatkan selain sifar karbon atau pencemaran," katanya ketika Pameran Motor Tokyo (TMS) Ke-45 di Tokyo Big Sight, Koto-ku, hari ini.

Takahiro berkata, model kenderaan berkuasa elektrik (EV) akan dibangunkan secara total dan menjadi penanda aras dalam pasaran automotif pada masa akan datang.

"Pasaran motosikal misalnya, sebanyak 100 juta unit terjual di seluruh dunia sejak diperkenalkan kira-kira 60 tahun lalu.

"Siri Super Cup adalah model paling lama terjual dan Honda akan memperkenalkan beberapa lagi model baru yang lebih berkuasa dan mesra alam.

"Begitu juga jentera berkuasa tinggi yang paling diminati Gold Wing selepas diperkenalkan di pasaran dunia pada 1975," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 1:27 PM