Asrizal Aris


PENGANJURAN kali keempat acara zumba oleh Watsons Malaysia iaitu Watsons Move Your Body Zumba 2017 lebih meriah dengan penyertaan kira-kira 7,000 peserta daripada pelbagai lapisan usia dan masyarakat di Sunway Lagoon, Sabtu lalu.

Acara ikonik yang bertemakan pesta pantai dan cahaya malam itu, sekali lagi mencipta sejarah acara zumba terbesar di Malaysia selepas mengatasi rekod peserta tahun lalu iaitu 5,360 peserta.

Pengurus besar Watsons Malaysia, Caryn Loh berkata, penganjuran kali ini lebih meriah kerana peserta semakin bertambah dan turut disertai oleh peserta remaja serta kanak-kanak.

Katanya, ia satu usaha yang baik kerana selain mengadakan kempen kesihatan dan kesejahteraan, ia bertujuan mempromosikan Watsons sebagai destinasi membeli-belah produk kesihatan dan kecantikan yang ideal.

"Acara zumba tahunan ini juga menjadi satu daripada pemacu utama kami untuk menyokong kempen Watsons #GETACTIVE yang baru dilancarkan.

"Kami menawarkan lebih banyak pendekatan holistik kepada gaya hidup sihat kepada semua rakyat Malaysia selain daripada menawarkan pelbagai produk kesihatan dan kesejahteraan terbaik di kedai kami di seluruh negara," katanya.

Menurut Caryn, acara zumba edisi kali ini menyaksikan penampilan tiga pengendali rutin zumba dari Amerika Syarikat, Kanada dan Korea Selatan berbanding dua sahaja pada penganjuran sebelum ini.

"Menikmati malam yang 'sihat' dan dikelilingi dengan cahaya warna warni dengan rutin tarian yang menyeronokkan tanpa henti selama dua jam, pasti menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan," katanya.

Menurutnya, acara zumba itu sebagai satu kempen berinovatif untuk menggalakkan komuniti menjalankan aktiviti riadah sihat.

Ditanya mengenai perancangan Watsons bagi acara akan datang, Caryn memaklumkan beberapa kejutan menanti orang ramai khususnya pelanggan setia Watsons.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 10:20 PM
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Watsons Move Your Body Zumba 2017 di Sunway Lagoon. FOTO Saiful Iskandar
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Watsons Move Your Body Zumba 2017 di Sunway Lagoon. FOTO Saiful Iskandar