Mohamad Zul Afiq  dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.
Mohamad Zul Afiq dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.
HM Digital

Kota Bharu: Seorang pekerja pelantar minyak dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam terhadap tuduhan cuba mencuri peralatan perubatan bernilai RM90,000 dari Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, minggu lalu.

Tertuduh Mohamad Zul Afiq Mohd Rahim, 21, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba mencuri tiga unit kabel mesin ultrabunyi, satu set peralatan pergigian dan beg berwarna hitam milik HUSM bernilai RM90,000 di Jabatan Kecemasan dan Trauma HUSM Kubang Kerian jam 1.30 pagi, 13 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Marzuki Omar menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh memohon dia dikenakan ikat jamin minimum.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 November depan untuk tarikh sebutan semula.

Difahamkan, dalam kejadian itu, tertuduh bersama seorang wanita ditemui kakitangan HUSM dalam keadaan mencurigakan sebelum tertuduh meminta membuka pintu keluar, namun dihalang.

Kakitangan HUSM kemudian menemui beberapa peralatan milik HUSM yang dibalut dengan selimut sebelum tertuduh ditahan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 10:47 AM