Junaidi Ladjana


SERAMAI 130 pendaki di Gunung Kinabalu selamat tiba di Pondok Timpohon, 4.30 pagi, hari ini susulan gempa bumi di Ranau, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim berkata, ketika gempa bumi bermagnitud 5.2 itu, 239 individu berada di Gunung Kinabalu.

Katanya, ia turut membabitkan 42 malim gunung, porter (4), kakitangan Sutera Houber (30), pekerja binaan (4), enam kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS), SAR TTS (5), Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat Gunung MOSAR (6) dan petugas Mountain Torq (12).

"Semua mereka selamat tiba secara berperingkat dari 1.30 pagi hingga 4.30 pagi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Khairul Azuwan berkata, operasi SAR membabitkan 76 orang pelbagai agensi termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat Malaysia (STORM), MOSAR, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan dan kakitangan TTS.

SUASANA di Pondok Timpohon ketika operasi menurunkan pendaki dari Laban Rata. FOTO Lano Lan
SUASANA di Pondok Timpohon ketika operasi menurunkan pendaki dari Laban Rata. FOTO Lano Lan

"Ketika operasi SAR, tiada kejadian tidak diingini. Walaupun ada laluan runtuh, namun keadaan terkawal," katanya.

Menurutnya, bomba dan agensi lain mempunyai pengalaman selepas gempa bumi, tiga tahun lalu.

"Anggota keselamatan mengambil langkah yang cepat bagi memastikan semua mangsa yang berada di Gunung Kinabalu selamat," katanya.

Sementara itu, Pengurus Taman Kinabalu, Yasin Miki berkata, terdapat runtuhan besar di kawasan gunung Kinabalu namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar.

"Keadaan gelap menyebabkan kita tidak dapat memastikan kerosakan yang berlaku di Gunung Kinabalu namun kita akan menjalankan pemeriksaan lanjut hari ini," katanya.

Berita berkaitan

130 pendaki turun malam ini

'Rumah bergegar, lampu bergoyang'

Ini gegaran baru

Gempa bumi melanda lagi...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 8:54 AM