Syah Rul Aswari Abdullah


SPRM menahan lelaki 33 tahun bagi bantu siasatan kes dana RM1.5 billion Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah.

Sumber-sumber yang rapat dengan SPRM, berkata lelaki itu ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu, pada 5.15 petang, Sabtu.

“Sebelum itu, lelaki terbabit tampil di pejabat SPRM Sabah memberi keterangan bagi membantu siasatan kes," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, lelaki itu adalah menantu kepada seorang daripada suspek yang masih ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sehingga ini, SPRM sudah menahan lapan orang di Sabah dan Putrajaya, termasuk empat ahli politik dan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes.

Berita berkaitan

Reman ahli politik sambung lagi

SPRM dah kenal pasti 32 individu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 12:22 AM