Azmi (dua dari kanan) bersama Pengarah Politeknik Seberang Perai, Zulkifli Ariffin (kanan) semasa sidang media selepas Majlis Konvokesyen Ke-17 Politeknik Seberang Perai (PSP) di Dewan Seri Mutiara PSP, Permatang Pauh, Pulau Pinang. FOTO AMIR IRSYAD OMAR
Azmi (dua dari kanan) bersama Pengarah Politeknik Seberang Perai, Zulkifli Ariffin (kanan) semasa sidang media selepas Majlis Konvokesyen Ke-17 Politeknik Seberang Perai (PSP) di Dewan Seri Mutiara PSP, Permatang Pauh, Pulau Pinang. FOTO AMIR IRSYAD OMAR
Zulfa Mohamad

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) dijangka mengambil alih pengurusan perkhidmatan feri yang menjadi ikon di Pulau Pinang hujung bulan ini atau November depan.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, pengambilalihan perkhidmatan feri yang sebelum ini diurus Penang Port Sdn Bhd (PPSB) membabitkan anak syarikat Prasarana, Rapidferry Sdn Bhd.

Beliau berkata, beberapa siri perbincangan diadakan sebelum ini dan perkhidmatan feri yang menjadi ikon bagi Pulau Mutiara akan bertukar pengurusan.

"Kami bukan saja mahu mengambil alih perkhidmatan feri, malah mencari jalan bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

"Feri sudah menjadi ikon rakyat negeri ini dan bukan semua tempat ada kemudahan itu, jadi kita perlu pertahankan perkhidmatan feri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil kepada 1,447 penuntut Politeknik Seberang Perai (PSP) sempena Majlis Konvokesyen ke-17 di Permatang Pauh, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya akan turut membuat penambahbaikan dan mewujudkan persekitaran mesra pengguna supaya lebih ramai menggunakan feri untuk berulang alik antara Seberang Prai dengan pulau.

"Kami akan lihat aspek mana perlu dibaiki dan belum boleh didedahkan lagi.

"Feri sedia ada sudah berusia puluhan tahun dan tentunya memerlukan penambahbaikan," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya boleh bekerjasama dengan PSP bagi memastikan program dan latihan disediakan selari dengan kehendak industri masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 7:28 PM