Hadzlihady Hassan

Georgetown: Tiga lelaki ditahan polis kerana mengamuk dan memukul seorang pelanggan di sebuah pusat hiburan di Jalan Penang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa lingkungan 30-an cedera di muka dan kepala selepas dipukul dengan kerusi serta meja.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian berpunca selepas mangsa menegur seorang daripada suspek kerana mengganggu wanita yang bekerja di pusat hiburan terbabit.

Beliau berkata, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum dileraikan beberapa pelanggan di pusat hiburan terbabit.

“Mangsa kemudian dibawa keluar dari premis berkenaan, namun dia yang masih tidak berpuas hati kembali semula dengan membawa kayu.

“Bagaimanapun, suspek dan beberapa rakannya yang melihat mangsa terus menyerang lelaki terbabit dengan kerusi serta meja,” katanya.

Anuar berkata, susulan itu, polis menahan tiga lelaki berusia 27 hingga 31 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148, Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis sedang mengesan mangsa bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 11:27 AM
SEORANG lelaki cedera di muka dan kepala selepas dipukul  dalam pergaduhan di pusat hiburan di Jalan Penang.
SEORANG lelaki cedera di muka dan kepala selepas dipukul dalam pergaduhan di pusat hiburan di Jalan Penang.