Balqis Jazimah Zahari


Gopeng: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Latihan Pengoperasian Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) meneruskan usaha mencari jejak kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau lebih dikenali Acap yang hilang lebih setahun lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu berkata, latihan bermula semalam sehingga 23 September ini oleh pasukan elit gabungan beberapa negeri di Semenanjung itu membabitkan beberapa latihan operasi dan menyelamat termasuk Latihan Pengoperasian SAR 'Acap Trail'.

"Bagi fasa pertama kita menggerakkan pasukan khas kita ini untuk berjalan lasak membabitkan laluan 25 kilometer mengikut trek yang dilalui oleh Acap.

"Jadi, kita berharap program jalan lasak 'Acap Trail' ini dapat membantu serba sedikit mengurangkan keresahan dari pihak keluarga Acap sendiri berkaitan tindakan jabatan bomba dengan perkembangan Acap," katanya kepada pemberita ketika menyertai Latihan Pengoperasian Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tahun 2020 Peringkat Zon Utara di Gua Tempurung hari ini.

Mohd Yunus berkata, meskipun ia bukan satu operasi pencarian secara khusus tetapi ia antara usaha jabatan bagi mengesan sebarang petunjuk baru kehilangan Acap.

SESI taklimat sebelum memulakan Latihan Pengoperasian STORM bagi 'Acap Trail' di Gua Tempurung. FOTO Balqis Jazimah Zahari
SESI taklimat sebelum memulakan Latihan Pengoperasian STORM bagi 'Acap Trail' di Gua Tempurung. FOTO Balqis Jazimah Zahari

"Sebenarnya kita tidak menutup di sini dan berusaha dengan sebarang petunjuk baru, jadi (melalui latihan) kita berusaha menjejaki melalui jalan yang dilalui oleh Acap.

"Dalam tempoh lebih setahun ini kita mengharapkan ada petunjuk baru, setidak-tidaknya ada kemungkinan Acap ini terjatuh dan tertimbus oleh tanah dalam tempoh lebih setahun ini, dengan faktor cuaca berkemungkinan kita dapat menemui sebarang baju atau kasut atau sebagainya untuk membolehkan kita meneruskan pencarian yang lain," katanya.

Acap dilaporkan hilang pada 24 Mac tahun lalu apabila pihak penganjur dan rakannya yang membuat pencarian gagal menemuinya selepas acara tamat pada 2 petang sehari sebelum itu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pelbagai pihak termasuk bomba, polis, sukarelawan, rakan dan keluarga dihentikan hampir sebulan kemudian.

Sehingga kini kehilangan masih menjadi misteri berikutan tiada sebarang jejak dan petunjuk yang ditemui.

Berkenaan latihan itu, beliau berkata, seramai 150 anggota meliputi pasukan khas STORM JBPM dari Selangor, Pulau Pinang dan Perlis.

Katanya, selain latihan pengoperasian Acap Trail, pihak mengatur gerak latihan operasi dan menyelamat di Gua Tempurung pada keesokan hari dan latihan operasi dan menyelamat di air pada hari seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 3:29 PM