Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dan Negeri Sembilan akan berkolaborasi menerusi kursus untuk Pasukan Pelbagai Kemahiran (MUST) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bulan depan.

Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain berkata, ia membabitkan 60 pegawai dan anggota dari kedua-dua negeri yang menjalani latihan kesiapsiagaan menghadapi cuaca buruk berkenaan.

Katanya, kursus itu juga membabitkan semua unit dalam jabatan itu termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

"Kursus khas MUST Team peringkat Zon Selatan ini akan membabitkan masing-masing 30 pegawai dan anggota dari Melaka dan Negeri Sembilan.

"Ia memfokuskan kepada kursus bencana termasuk latihan dan persiapan berkaitan seperti operasi mencari dan menyelamat," katanya pada sidang media selepas gimik pelepasan Kembara Merdeka 2022, Kempen Kibar Jalur Gemilang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Melaka Truckers Club (MTC), Yusri Ardy Jalil.

Abu Bakar berkata, MTL biasanya bermula pada November setiap tahun, justeru pihaknya perlu membuat persiapan rapi khususnya di kawasan panas kerap berlaku bencana banjir kilat.

"Seperti sebelum ini, kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan panas bencana banjir antaranya di Lubok China, Alor Gajah dan Merlimau di Jasin ketika MTL.

"Tahun lalu MTL melanda lebih awal dan agak panjang iaitu dari Oktober sehingga Mac 2022.

"Jadi semua pihak termasuk bomba perlu bersedia, sentiasa berhati-hati dengan mengawasi anak-anak di musim hujan, simpan dokumen penting di tempat selamat dan memastikan perkakasan elektrik dalam keadaan baik," katanya.

Ditanya mengenai aset kebombaan, beliau berkata, pihaknya menerima empat unit kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton bernilai RM450,000 pada tahun ini.

"Kita juga menerima seramai 65 anggota bomba baharu yang sudah ditempatkan di semua Balai Bomba dan Penyelamat di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 4:56 PM
ABU Bakar melakukan gimik pelepasan Kembara Merdeka 2022, Kempen Kibar Jalur Gemilang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh di sini, hari ini. FOTO  Meor Riduwan Meor Ahmad
ABU Bakar melakukan gimik pelepasan Kembara Merdeka 2022, Kempen Kibar Jalur Gemilang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh di sini, hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad