GAMBAR Arkib NSTP.
GAMBAR Arkib NSTP.
BERNAMA

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menafikan dakwaan maklumat kanak-kanak yang didaftar bagi ujian saringan Pintar Berbakat untuk Program Junior Science Camp 2019 digunakan bagi tujuan penculikan.

Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat atau berita palsu.

“Program itu merupakan anjuran GENIUS@Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), UPSI.

“Ada pihak mendakwa maklumat kanak-kanak yang mendaftar menerusi pautan pcis.upsi-ukm.edu.my atau http://pcis.permatapintar.edu.my digunakan bagi tujuan penculikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Mohammad Shatar menegaskan pautan berkenaan wujud dan sahih, malah bertujuan mengenal pasti kanak-kanak pintar serta berbakat di negara ini bagi mencetus dan membina minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, kanak-kanak yang terpilih akan mengikuti Junior Science Camp 2019 mulai 23 hingga 25 Nov depan dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi http://ncdrc.upsi.edu.my.

Ujian saringan dibuka secara dalam talian bermula 1 Sept lalu sehingga 15 Oktober depan kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 6:43 PM