PELBAGAI aktiviti dijalankan bagi memberi kesedaran kepada pelajar mengenai sains dan teknologi.
PELBAGAI aktiviti dijalankan bagi memberi kesedaran kepada pelajar mengenai sains dan teknologi.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

PROGRAM Profesor ke Desa antara usaha untuk menarik minat pelajar mencintai ilmu dan mendalami pengetahuan menerusi pendekatan sains serta teknologi.

Ia inisiatif Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengembangkan ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan ke peringkat akar umbi iaitu di sekolah rendah dan menengah terutama di kawasan pedalaman.

Malah, program motivasi ini sebagai iltizam pelajar untuk terus belajar dan selain menjadi benteng kepada ancaman gejala dadah yang semakin menular dalam kalangan remaja hari ini.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM Profesor Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata, berita mengenai permasalahan pelajar terkandas dari alam persekolahan yang sepatutnya menjadi perkara utama dalam kehidupan mereka sering terpampang di akhbar dan televisyen.

Menurutnya, permasalahan itu mengakibatkan mereka mudah terjerumus gejala sosial seperti dadah, mat rempit dan kecurian.

"Menyedari masalah ini yang sudah merebak di pelosok kampung tanpa mengenal usia dan taraf, program motivasi Profesor ke Desa terpanggil untuk memberi sinar harapan melalui bengkel kesedaran mengenai kepentingan meneruskan persekolahan sehingga peringkat tertinggi.

PELAJAR diberi pendedahan mengenai sains dan teknologi.
PELAJAR diberi pendedahan mengenai sains dan teknologi.

"Program khidmat masyarakat ini bersifat sukarela dan tidak membabitkan implikasi kewangan sebagai satu khidmat kakitangan kerajaan kepada masyarakat sejagat," katanya.

Selepas memegang jawatan Timbalan Dekan Prasiswazah, Dr Mohd Syuhaimi sedar menjadi tanggungjawabnya untuk mengembangkan sains dan teknologi ke seluruh negara.

Tambahan, penurunan pelajar yang mengambil aliran sains semakin menular di sekolah khususnya di luar bandar menjadi faktor utamanya menggerakkan usaha ini.

Oleh itu, bagi meningkatkan semula kefahaman mereka betapa negara perlukan saintis dan jurutera bagi kelangsungan ekonomi yang dijanakan melalui perindustrian, program khidmat masyarakat perlu digerakkan menerusi operasi turun padang.

Selain menguar-uarkan mengenai kepentingan mereka memilih aliran sains dan teknologi.

"Kesedaran ini tercetus pada penghujung 2014 ketika banjir melanda negeri di pantai timur dan saya mengetuai misi bantuan yang digerakkan FKAB.

PENGALAMAN melakukan uji kaji di makmal.
PENGALAMAN melakukan uji kaji di makmal.

"Penerokaan ke kawasan hulu dan melihat gambaran sebenar anak-anak di sana menyedarkan saya betapa penting bantuan dari segi moral kepada mereka untuk terus belajar serta berusaha lebih tekun bagi meneruskan alam persekolahan mereka," katanya.

Justeru, selepas pulang dari Misi Bantuan FKAB, Dr Mohd Syuhaimi sepakat untuk menggerak satu misi yang diberi nama Profesor ke Desa.

"Pada awalnya saya hanya memanggil beberapa rakan terdekat dan lama-kelamaan menarik lebih ramai penyertaan dari kakitangan lain.

"Sehingga hari ini, saya masih menerima permohonan untuk mengikuti program ini dari alumni dan kakitangan UKM," katanya.

Melalui saluran ini juga, fakulti akan menghantar kakitangan akademik bertaraf profesor ke sekolah untuk memberi ceramah motivasi mengenai tip menjadi pelajar cemerlang, pengurusan masa berkesan, pendedahan kerjaya sebagai saintis dan jurutera, program kejuruteraan, program berkembar luar negara, pembiayaan pengajian dan banyak lagi.

Di samping itu program ini juga bersifat 'head hunter' bertujuan mengesan pelajar cemerlang yang tergolong dalam kategori B40 untuk dipantau dan dididik sebagai bakal mahasiswa UKM kelak.

Program Profesor Ke Desa ini juga memberi peluang kepada kakitangan akademik fakulti untuk berinteraksi, berkenalan dan mengeratkan lagi hubungan selaras saranan penjawat awam 'turun padang' dan mendekati pelajar dari akar umbi.

Dr Mohd Syuhaimi berkata, bilangan pelajar yang mengikuti aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di sekolah menengah di Malaysia sekitar 18 hingga 20 peratus sahaja.

Jadi, demi kesedaran ini program profesor menjelajahi 24 lokasi di kawasan pedalaman dan memberi pelbagai inisiatif bantuan bagi meningkatkan minat pelajar kepada sains serta teknologi.

"Langkah itu juga bagi memastikan kesinambungan intelektual berlaku khususnya kepada anak-anak yang berada di luar bandar.

"Malaysia mempunyai ramai intelektual dalam pelbagai lapangan hebat dan memerlukan pelapis untuk generasi yang baharu," katanya.

DR Mohd Syuhaimi
DR Mohd Syuhaimi

Selain itu, Dr Mohd Syuhaimi juga menganjurkan program UKM4Orphans yang menggabungkan semua kumpulan STEM di fakulti sebagai kesinambungan Program Profesor ke Desa.

Pelajar yang terpilih akan dijemput dan merasai sendiri pengalaman sebagai mahasiswa di UKM.

Mereka akan tinggal di kolej kediaman pelajar dan bercampur dengan mahasiswa UKM serta mengikuti kuliah di fakulti.

Pada masa sama mereka akan melalui pelbagai program universiti seperti seperti syarahan profesor, reka cipta kejuruteraan, inovasi matematik, 'puzzle hunt,' sehari sebagai pengaturcara, 'chem-e-car,' 'fruit chemistry' dan banyak lagi.

Di samping itu, makan malam khas yang diberi nama Malam Tautan Kasih menjadikan program ini lebih bermakna dengan kehadiran ahli pengurusan tertinggi universiti.

Pada malam itu ahli pengurusan tertinggi UKM mengagihkan kelengkapan sekolah, cenderahati fakulti dan lain-lain kepada anak-anak ini di samping mereka juga akan bermesra dengan profesor universiti ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 6:30 AM