ORANG ramai  di lokasi kejadian selepas lelaki dipercayai terbabit kes pecah rumah terjatuh.
ORANG ramai di lokasi kejadian selepas lelaki dipercayai terbabit kes pecah rumah terjatuh.
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Dua suspek lelaki yang dipercayai terbabit dengan tiga kes pecah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, di Batu 12, dekat sini, ditahan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.15 malam, seorang suspek berusia 20 tahun dicekup di tingkat tiga PPR berkenaan manakala seorang lagi berusia 23 tahun yang cuba meloloskan diri tiba-tiba melompat dari tingkat tiga PPR ke tingkat bawah.

Bagaimanapun, lelaki itu dikatakan jatuh tertiarap dan pemeriksaan awal mendapati suspek patah tangan, cedera di kepala, muka serta beberapa bahagian badan lain.

Kedua-dua suspek kemudian ditahan manakala rakannya yang parah dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi itu bagi menahan suspek selepas menerima maklumat.

“Sebaik tiba, seorang suspek tiba-tiba melompat dari tingkat tiga PPR berkenaan ke tingkat bawah manakala seorang lagi dicekup.

“Hasil pemeriksaan menemui satu uncang hitam berisi pisau bersama suspek yang cedera,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Azhar berkata, siasatan lanjut mendapati suspek berusia 20 tahun positif dadah manakala rakannya belum menjalani ujian air kencing.

“Siasatan awal mendapati, kedua-duanya dipercayai terbabit dengan tiga kes pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada 15 September lalu daripada seorang mangsa berusia 35 tahun.

“Rumah mangsa di PPR sama disyaki dipecah masuk suspek. Pelbagai barang hilang antaranya kasut, joran, pemanas air, komputer laptop dan periuk elektrik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 4:53 AM