HAMZAH  (kiri) di Hotel Grand Millennium, semalam.
HAMZAH (kiri) di Hotel Grand Millennium, semalam.
Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Emirates Airlines (Emirates) menawarkan tambang istimewa buat rakyat Malaysia ke pelbagai destinasi dalam seluruh rangkaian syarikat penerbangan Emirates pada pameran pelancongan tahunan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari Jumaat hingga Ahad ini.

Tambang istimewa yang ditawarkan meliputi destinasi popular di Eropah, Afrika dan Timur Tengah itu bersempena penyertaan Emirates sebagai syarikat penerbangan rasmi MATTA Fair 2017.

Bagi menikmati tawaran istimewa itu, orang ramai perlu membuat tempahan antara 30 Ogos 2017 hingga 17 September 2017 dan sah untuk perjalanan sehingga 30 Jun 2018.

Tambang kelas Ekonomi merangkumi semua kos bermula pada harga serendah RM2,629 bagi destinasi ke London, Paris (RM2,449), Barcelona (RM3,419), Istanbul (RM2,259), Rome (RM2,879), Kaherah (RM2,559) dan Dubai (RM3,789).

Bagi tambang kelas Perniagaan pula bermula pada harga RM10,979 ke London, Paris (RM12,959), Barcelona (RM15,039), Istanbul (RM10,139), Amsterdam (RM13,099), Kaherah (RM11,659) manakala Dubai (RM12,969).

Pengurus Singapura, Brunei dan Malaysia syarikat penerbangan Emirates Andrew Bunn berkata, pihaknya berbesar hati menawarkan tambang istimewa kepada rakyat Malaysia untuk terbang ke destinasi menarik menggunakan perkhidmatan pengembaraan kelas dunia pada harga yang berpatutan.

“Sempena ulang tahun kesembilan perkhidmatan Airbus A380 Emirates, kami menawarkan tambang istimewa kepada rakyat Malaysia untuk merancang percutian hujung tahun di samping menikmati perkhidmatan dalam rangkaian global Emirates yang luas,” katanya di Hotel Grand Millennium di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Pemantau Pameran MATTA yang juga bekas Presiden MATTA Datuk Hamzah Rahmat dan Ketua Pegawai Eksekutif MATTA Phua Tai Neng.

Menurutnya, pihaknya menjanjikan tawaran terbaik kepada rakyat Malaysia untuk melancong ke luar negara pada harga menarik.

“Melalui penyertaan dalam pameran ini, kami juga memiliki beberapa sasaran antaranya untuk meningkatkan jumlah pelancong Malaysia ke Dubai,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, harga istimewa yang ditawarkan Emirates adalah kompetitif jika dibandingkan dengan tawaran dari syarikat penerbangan lain.

“Kami gembira dapat bekerjasama bersama Emirates buat kali ketiga malah saya juga ingin mengumumkan mereka bersetuju untuk meneruskan kerjasama ini pada pameran MATTA tahun depan.

“Sepanjang pameran berlangsung, Emirates turut menawarkan penerbangannya sebagai hadiah kepada pengunjung MATTA iaitu hadiah utama tiket penerbangan ke Dubai untuk dua orang selain penginapan lima hari empat malam atas tajaan pihak lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 4:29 AM