AZHAR dibawa keluar menggunakan kereta abangnya selepas dikenakan tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Kajang, semalam.
AZHAR dibawa keluar menggunakan kereta abangnya selepas dikenakan tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Kajang, semalam.
Sarah Zulkifli


Kajang: Doktor yang dilaporkan terpotong kepala zakar kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika proses berkhatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa di sebuah klinik, tahun lalu.

Tertuduh, Azahari Hashim, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Mengikut pertuduhan, dia secara cuai mendatangkan kecederaan parah terhadap kanak-kanak lelaki itu.

Pendakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Bapa kepada empat anak itu dituduh menjalankan klinik perubatan swasta tidak berdaftar dan didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang dihukum mengikut Seksyen 5 akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa tidak mempunyai Sijil Amal Perubatan dan didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Perubatan 1971 dan boleh hukum di bawah Seksyen 35 akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan dilakukan di Klinik Keluarga, No 6, Jalan CU 15/B, Taman Cheras Utama, Hulu Langat, di sini, jam 8.15 malam pada 20 Disember 2016.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuan menerusi peguam Al Sabri Ahmad Kabri, memohon dikenakan jaminan rendah dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan kerana klinik itu ditutup.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Januari ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:52 AM