Ibrahim (tiga kanan) menunjukkan senjata yang dirampas dalam serbuan di Jalan Lubok Stol, Rantau Panjang, pagi semalam. FOTO ihsan polis
Ibrahim (tiga kanan) menunjukkan senjata yang dirampas dalam serbuan di Jalan Lubok Stol, Rantau Panjang, pagi semalam. FOTO ihsan polis
Mohamad Zulhairie Manzaidi


PASANGAN kembar berusia 29 tahun ditahan kerana memiliki sepucuk pistol tiruan, lima pisau, pedang dan kerambit dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Lubok Stol, Rantau Panjang, 9.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat diterima anggota Balai Polis Rantau Panjang.

"Ketika serbuan, dua lelaki yang juga kembar berada di ruang tamu dan hasil pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol tiruan jenis Steyr yang disembunyikan di bawah bantal.

"Manakala senjata tajam seperti pedang, kerambit dan pisau ditemui dalam sebuah bilik di rumah berkenaan," katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

Ibrahim berkata, soal siasat dilakukan, suspek mengaku membeli pistol itu dengan harga RM450 pada 2014.

"Kedua-dua beradik itu bekerja sebagai pembantu kedai makan dan ujian saringan mendapati mereka positif dadah jenis methaphetamine.

"Mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah pada 2008," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 3:32 PM