Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru : Seorang lelaki berusia 45 tahun ditangkap polis selepas memiliki pelbagai senjata api tiruan dan senjata berbahaya dalam satu serbuan yang dijalankan di Taman Yayasan Segamat Johor pada 12.30 malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, polis masih menyiasat sama ada senjata yang dirampas turut digunakan untuk melakukan jenayah samun dan mencederakan manusia.

"Pada Sabtu lalu polis melakukan serbuan di Taman Yayasan Segamat dan menangkap seorang lelaki berusia 45 tahun selain merampas pelbagai senjata tiruan dan berbahaya.

"Antaranya termasuk masing masing sepucuk senapang angin buatan sendiri, senapang tiruan, pump gun tiruan, pistol jenis M-92, pistol Gas Blowback dan lima pedang samurai, alatan renjatan elektrik, gari, buku lima serta pembaling bintang," katanya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor di sini hari ini.

Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan diberi jaminan polis.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara tujuh tahun selain denda RM10,000 atau kedua-duanya, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 1:57 PM