NOR Hadila membawa jenazah anaknya Muhammad Adam Firdaus yang menghidap masalah degupan jantung dari bilik Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
NOR Hadila membawa jenazah anaknya Muhammad Adam Firdaus yang menghidap masalah degupan jantung dari bilik Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Hatinya kini kosong dan sunyi selepas satu-satunya zuriat yang masih ada, pergi menghadap Ilahi dan ‘bertemu’ abang serta kakak yang sudah meninggal dunia sebelumnya.

Ibu muda ini, Nor Hadila Abu Hassan, 24, diuji Allah apabila tiga anaknya mati ketika masih kecil dan terkini, Muhammad Adam Firdaus Mohd Syawal berusia setahun meninggal dunia, tepat jam 5.03 petang semalam.

Anak bongsu Nor Hadila menghidap masalah degupan jantung tidak stabil atau Cardiac Arrhythmia dan satu-satunya zuriat dimiliki Hadila selepas kematian tiga anaknya akibat menghidap penyakit sama.

Nur A’in Shuhada meninggal dunia pada 2015 ketika berusia lima tahun, Nur A’in Syazlin pada 2012 ketika berusia enam bulan dan Muhammad Syazlan pada 2014 sewaktu berusia setahun.

Nor Hadila menerusi aplikasi WhatsApp berkata, anak lelaki bongsunya itu meninggal dunia di Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak (PICU), Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.

Hanya linangan air mata menemani Nor Hadila sepanjang proses menguruskan jenazah sebelum dia dilihat mendukung jenazah anaknya itu dan dibawa pulang ke rumah di Batu 3, Mambau, Nilai, dekat sini.

Bapa saudara Muhammad Adam, Mohammad Shahrul Hisham Asmadi, 31, berkata, dia mengetahui mengenai kematian anak saudaranya itu selepas dihubungi Nor Hadila, petang itu.

Menurutnya, selepas menerima panggilan itu dia yang bekerja segera datang ke HTJ untuk melihat jenazah Muhammad Adam buat kali terakhir.

“Abang saya, Mohd Shawal Asmadi (bapa Muhammad Adam) dan isterinya sudah reda menerima pemergian Muhammad Adam.

“Sebelum ini, arwah sudah lima hari tidak sedarkan diri dan dirawat di PICU.

“Doktor memberitahu, otak arwah sudah mati malah beberapa organ dalamannya juga gagal berfungsi dengan baik. Doktor sudah memaklumkan kepada keluarga supaya bersedia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTJ, di sini, semalam.

Katanya, jenazah Muhammad Adam dibawa pulang ke rumah keluarganya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 3, Mambau, pagi ini.

Adam dimasukkan ke HTJ pada 25 Julai lalu, selepas kesihatan Adam semakin merosot walaupun baru sehari dibenarkan keluar wad.

Sepanjang tempoh itu, Nor Hadila dan suaminya menjaga Muhammad Adam sepenuh masa dengan harapan anaknya akan kembali pulih, namun Allah lebih sayangkan Muhammad Adam apabila dia dijemput pergi, petang semalam.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan, walaupun doktor maklumkan peluangnya untuk hidup tipis, namun Nor Hadila tidak berhenti berdoa mengharapkan keajaiban Allah.

Ibu mana yang tidak sedih apabila mengetahui peluang anak untuk hidup tipis walaupun tahu keadaannya tenat tetapi jauh di lubuk hati masih mengharapkan anaknya pulih.

Setiap hari Hadila pasti menangis mengenangkan tiga anak yang pergi mengadap Ilahi dan kini memiliki hanya seorang anak serta berdoa supaya anaknya itu dipanjangkan umur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 3:56 AM