Zamihan Mat Zain al Ghari. FOTO arkib NSTP
Zamihan Mat Zain al Ghari. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


PERTUBUHAN Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) menggesa satu penelitian lebih rapi perlu dilakukan dalam isu anak tak sah taraf kerana konsep nama keluarga atau ‘surname’ tidak semestinya sama dengan ‘bin’ dan ‘binti’ nama bapa dalam Islam.

Presidennya, Dr Zamihan Mat Zain al Ghari berkata, ia boleh menyebabkan kecelaruan dalam isu perwalian nikah juga dalam menentukan pewarisan dan pembahagian harta orang Islam.

Katanya, isu pokok hukum Islam adalah lebih utama dari menutup aib kanak-kanak kerana mudarat yang lebih besar akan timbul kelak apabila anak itu dewasa.

Menurutnya, segala hujah berdasarkan isu psikologi atau keaiban anak luar nikah dilihat terlalu dangkal.

"ASWAJA berpendapat keputusan ini jelas tidak melambangkan status Malaysia sebuah negara Islam, malah menghina serta memalukan umat Islam.

"Maka usaha Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pencelahan dari Majlis Agama Islam, badan bukan kerajaan (NGO) wajib disokong bagi membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan seberapa segera demi survival umat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 12:29 PM