Dr Zamihan Mat Zin.
Dr Zamihan Mat Zin.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Di sebalik kecoh mengenai kewujudan pelbagai jenis scammer yang memperdaya orang ramai, umat Islam di negara ini tanpa disedari turut dibelenggu dengan penipuan Islamik.

Menggunakan imej agama dan bergelar ustaz menjadikan masyarakat Islam di Malaysia terus diperdaya dengan tawaran ibadat, produk dan siasah yang sebenarnya bertujuan untuk kepentingan peribadi.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin Al -Ghari berkata, antaranya termasuklah kempen derma, wakaf dan pakej umrah yang menggunakan pelbagai tarikan kononnya penginapan di Tanah Suci termurah dan yang berdekatan dengan Masjidil Haram.

Menurutnya, ia dijadikan sebagai daya tarikan supaya jemaah bersetuju menggunakan khidmat syarikat umrah terbabit walaupun maklumat diberikan tidak benar sama sekali.

"Ada yang tawarkan hotel yang hanya jaraknya kira-kira 50 meter dari masjid, turun lif saja sudah sampai di lantai putih (kawasan Masjidil Haram).

"Bila sampai di sana, terpaksa berjalan kaki lebih satu kilometer jauhnya. Bila ditanya, mulalah mereka beri alasan inilah ujian dalam beribadat, jangan merungut kerana tidak mahu ibadah terganggu," katanya.

Beliau berkata, selain itu, scammer Islamik juga termasuklah penipuan pembinaan masjid, surau atau pusat tahfiz yang mengutip derma tanpa sebarang resit atau dokumen berkaitan daripada pihak berkuasa.

Katanya, ada juga mereka yang menjalankan kutipan bertahun-tahun, namun infrastruktur masjid, surau, pondok atau asrama tahfiz masih di tahap lama, tiada kemudahan asas seperti pemadam api dan sijil kelayakan menduduki bangunan.

"Alasan yang digunakan termasuklah zaman Rasulullah SAW dulu hanya menggunakan dinding pelepah tamar, lantai berpasir dan berbumbungkan langit tetapi mampu melahirkan generasi bertakwa.

"Dalam masa yang sama ustaz yang mengutip derma berkenaan atau mudir yang ke sana ke mari menggunakan kereta mewah," katanya.

Zamihan juga berkata, taktik sama digunakan pengasas produk tertentu yang menjual atau mempromosi barangan mereka yang bercirikan pemakanan sunnah Nabi SAW.

"Sedangkan ia barangan tiruan, tidak berkualiti dan mengandungi tahap gula yang tinggi. Selain itu, ada juga produk yang dikaitkan dengan penawar bagi segala penyakit, saka, sihir dan seumpamanya," katanya.

Menurutnya, mereka sudah mempunyai kumpulan sasaran seperti golongan berpenyakit yang mengharapkan kesembuhan menerusi kaedah rawatan Islam dan sunnah.

"Ada produk yang dicampur dengan habbatus sauda sedikit, dicampur dengan gula tetapi mendakwa ia makanan sunnah yang baik untuk kesihatan. Maka ramailah yang pada asalnya mahu berikhtiar secara Islam akan beli produk terbabit.

"Begitu juga mereka yang berkecimpung dalam bidang siasah. Jenama agama juga dipergunakan untuk menarik minat orang awam untuk menyokong mereka. Apa saja yang dibuat semua 'dilapik' dengan nama Islam, namun hakikatnya ia hanyalah untuk kepentingan peribadi semata-mata," katanya.

Dr Zamihan berkata, isu scammer terbabit bukanlah sesuatu yang baru, namun ia terus menerus membelenggu umat Islam yang tidak mahu belajar dan menimba ilmu dari sumber yang sahih dan melakukan kajian empirikal.

Justeru katanya, masyarakat perlu membudayakan ilmu pengetahuan di samping merujuk kepada alim ulama sekiranya tidak pasti dengan sesuatu perkongsian terutamanya di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 1:57 PM