Putrajaya: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan kenaikan gaji tiga peratus kepada penjawat awam pada pembentangan Bajet 2018 nanti.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, permintaan itu berdasarkan kos sara hidup yang semakin meningkat terutama bagi golongan berpendapatan rendah 40 peratus (B40) sekali gus mengurangkan beban 1.6 juta penjawat awam.

“Penjawat awam ketika ini berhadapan kos sara hidup semakin membimbangkan sehingga dibelenggu pelbagai hutang.

“Oleh itu, kami cadang kenaikan gaji tiga peratus itu diberikan kepada mereka yang masih berkhidmat, manakala dua peratus kepada pencen pesara,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kongres CUEPACS di Hotel Everly, di sini, semalam.

Katanya, kadar gaji ketika ini tidak memadai untuk menampung perbelanjaan kehidupan seharian penjawat awam biarpun cuba berjimat cermat.

“Kita merayu kepada kerajaan mendengar masalah ini, walaupun CUEPACS tidak dijemput ketika Majlis Konsultasi Bajet 2018 baru-baru ini, kami mahu usul ini diketengahkan,” katanya.

Selain itu, katanya, elaun penjawat awam seperti elaun sara hidup (COLA), elaun perumahan dan elaun perkhidmatan awam juga perlu dikaji semula supaya selaras keadaan semasa.

“Elaun perkhidmatan awam sudah 15 tahun tidak dikaji semula dan jumlah elaun terbabit tidak wajar dan perlu perhatian penambahbaikan oleh kerajaan.

“COLA juga perlu diselaras kerana terdapat beberapa kawasan menerima elaun rendah pada ketika ini, malah dibebani kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 7:44 AM