Ekhwan Haque Fazlul Haque


Selayang: Kenaikan gaji minimum dan elaun tambahan bagi penjawat awam menjadi antara fokus yang boleh dijadikan keutamaan kerajaan buat masa ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata, khabar gembira itu diharap dalam direalisasikan kerajaan dalam Majlis Perhimpunan Perdana Penjawat Awam, 30 Ogos ini.

Menurutnya, cadangan gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,800 sebulan perlu dilaksanakan segera dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat pada pasca pandemik ini.

Beliau berkata, elaun tambahan berjumlah RM150 juga boleh ditambah dalam Imbuhan Tetap Penjawat Awam atau Elaun Perumahan.

"Cuepacs berharap ada pengumuman gembira akan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis perhimpunan hujung bulan ini.

"Tuntutan ini selari dengan kenaikan kos sara hidup dan ia dilihat relevan dengan keadaan ekonomi semasa yang semakin menghimpit penjawat awam," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan dan Sambutan Kempen Jalur Gemilang Majlis Perbandaran Selayang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kini penjawat awam menerima gaji minimum RM1,200 selain beberapa elaun yang menjadikan jumlah pendapatan keseluruhan RM1,900 sebulan.

Katanya, kenaikan gaji minimum kelak boleh meningkatkan taraf hidup dan kuasa beli dalam kalangan penjawat awam.

"Ini juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2025," katanya.

Menurutnya, perkara itu sudah disuarakan Cuepacs dalam pertemuan bersama Perdana Menteri sebelum ini dan pihaknya berharap ia dapat direalisasikan.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 1:39 PM