Adnan Mat
Adnan Mat
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terbuka bekerjasama dengan pasukan yang bakal mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata, kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengkaji semula gaji golongan itu umpama berita gembira kepada penjawat awam selari dengan situasi peningkatan kos sara hidup ketika ini.

"Cuepacs berharap Jemaah Menteri dapat memberikan kelulusan segera cadangan memulakan pasukan yang akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam.

"Dalam masa sama, Cuepacs berharap suatu tempoh masa tidak terlalu lama ditetapkan bagi pasukan ini memberikan dapatan berdasarkan kajian yang dibuat.

"Tempoh masa itu tidak boleh terlalu panjang supaya ia relevan dengan situasi persekitaran ekonomi semasa yang sentiasa berubah dengan mendadak.

"Apatah lagi peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara ketika ini dan semua pihak terkesan dengan bebanan kos itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya bersedia bersama-sama dengan pasukan ini bagi memberikan pandangan sewajarnya daripada sudut pandang warga penjawat awam bagi memastikan syor dikemukakan diterima golongan itu yang menjadi penerima manfaat.

"Pandangan dan penglibatan keseluruhan kakitangan perkhidmatan awam wajar diambil dan diterima.

"Sebelum ini Cuepacs mencadangkan kesesuaian gaji minimum perkhidmatan awam ialah RM1,800 dalam menjamin kehidupan golongan penjawat awam supaya dapat menjalani kehidupan dalam keadaan sedikit selesa dengan kenaikan kos sara hidup.

"Dalam konteks kali ini Cuepacs terbuka memulakan rundingan semula dengan pasukan yang akan ditubuhkan kelak," katanya.

Katanya, pihaknya turut mencadangkan penambah baikan dalam skim baharu termasuk kenaikan gaji tahunan kepada RM180 serta kenaikan pangkat Khas Untuk Penyandang (KUP) pertama 10 tahun dan KUP kedua lapan tahun.

"Peningkatan Gred untuk Skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (PTPO) dan Pembantu Tadbir Kewangan ke Gred 29 dan gred minimum Gred 19.

"Selain itu, Sistem Saraan hendaklah dikaji setiap lima tahun sekali, elaun sara hidup (COLA) hendaklah ditingkatkan dan Imbuhan Tetap Perumahan perlu ditambah daripada RM300 (kini) kepada RM450 serta memperkenalkan elaun bandaraya RM500," katanya.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam dengan perbincangan awal mengenainya akan dibangkitkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, minggu depan.

Katanya, syor penelitian semula skim gaji perkhidmatan awam itu dibuat selepas mempertimbangkan tiada kenaikan diberikan bagi suatu jangka masa yang agak lama.

Menurutnya, pasukan ini boleh memulakan kerja dan memberikan cadangan kepada kerajaan untuk meningkatkan skim gaji penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 4:16 PM