penunggang motosikal  yang ditahan untuk pemeriksaan  di Kampar.
penunggang motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan di Kampar.
Wan Asrudi Wan Hasan


Kampar: “Lokapkan saja anak saya itu lama-lama tuan... degil, cakap banyak kali tak nak dengar,” kata ibu kepada seorang penunggang motosikal selepas dimaklumkan polis menahan anak lelakinya berusia 19 tahun dikesan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Kilometer 4, Jalan Gopeng-Batu Gajah berdekatan Taman Herba, tengah malam, kelmarin.

Operasi Samseng Jalanan (Mat Rempit)/Ops Roda oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar itu bermula jam 8.30 malam sehingga awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, sebanyak 26 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu dan lesen kenderaan motor tamat tempoh.

Katanya, seramai 33 penunggang motosikal turut diperiksa namun pihaknya tidak mengesan sebarang waran tangkap pesalah trafik dalam operasi berkenaan.

“Sebanyak lima motosikal pelbagai model turut disita kerana melakukan pelbagai kesalahan.

“Selain tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun bersama sebuah motosikal Honda EX5 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pihaknya akan menjalankan operasi dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2017 @ 12:21 AM