Fardy Bungga


LELAKI berusia 45 tahun berdepan detik cemas apabila disamun tiga lelaki bersenjatakan parang panjang di tempat letak kereta, Gereja Methodist Tamil, Jalan Sentul, di sini, semalam.

Dalam kejadian 9.35 pagi itu, mangsa dipercayai baru meletakkan kereta jenis Nissan X-Trail miliknya di kawasan berkenaan sebelum dihampiri kereta jenis Mazda.

Salah seorang suspek kemudiannya keluar dari kereta dan terus menghampiri mangsa sambil mengacukan parang.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, suspek memaksa mangsa menyerahkan semua barangan berharga miliknya.

Katanya, mangsa turut diugut akan 'dipotong' sekiranya ingkar kepada arahan kumpulan suspek terbabit.

"Kumpulan suspek itu melarikan dompet, komputer riba dan peralatan memancing serta kereta milik mangsa.

"Jumlah kerugian sebenar masih belum dapat dikenal pasti dan nombor pendaftaran yang digunakan kereta suspek juga didapati palsu dan didaftarkan ke atas sebuah Toyota Vios," katanya.

Munusamy berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 9:51 PM