SHAHARIL menghadapi sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan menerima rasuah.
SHAHARIL menghadapi sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan menerima rasuah.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Kuantan: Bekas pegawai tentera didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas sembilan pertuduhan menyalahguna jawatannya dan menerima suapan membabitkan nilai keseluruhan RM95,794, sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Shaharil Hisham Abdul Razak, 57, dari Taman Bahagia, Temerloh membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menyalah guna jawatannya untuk mencadangkan supaya syarikat milik keluarganya, Abd Razak Am Enterprise dilantik melakukan kerja peyelengaraan bernilai RM30,000 di pejabat Skuadron RAJD Mekanis, Temerloh pada 20 November 2015.

Tertuduh yang ketika itu berkhidmat sebagai Pegawai Staf 1 (Ketua Zon) di Pejabat Senggaraan Zon Timur (Pahang) cawangan Pengurusan Fasilitas dan Urus Senggara, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kem Batu 3, Temerloh didakwa mengulangi perbuatan itu dengan mencadangkan syarikat sama dilantik untuk menyelenggara dua blok Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mentakab, dekat sini, bernilai RM45,000 pada 12 April 2016.

Dia melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Markas Angkatan Tentera, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kem Batu 3, Temerloh.

Cadangan itu dikemukakan kepada Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Brigadier Jeneral Datuk Abu Sufian Ahmad manakala syarikat itu dimiliki bapa tertuduh, Abd Razak Awang Mahusain; isterinya, Rosnahni Hussin dan adiknya, Muhamad Helmi Abd Razak.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, Shaharil Hisham turut didakwa menerima suapan bernilai RM20,794 daripada tujuh kontraktor antara 17 November hingga 22 Disember 2016 di Malayan Banking Berhad Cawangan Bukit Ubi, di sini, yang dimasukkan ke dalam akaun milik Rosnahni.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 5:53 AM