Pegawai Pemerintah Polis Marin Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman bersama anggotanya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas. - Foto SYAMSI SUHAIMI
Pegawai Pemerintah Polis Marin Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman bersama anggotanya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas. - Foto SYAMSI SUHAIMI

Siti Nor Hidayatidayu

PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas 50 kotak mercun dan bunga api dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh, semalam.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, dalam serbuan 5 petang itu, pihaknya merampas 18 jenis mercun dan bunga api bernilai RM90,000.

Katanya, serbuan dilakukan selepas membuat pemantauan selama dua minggu.

"Sindiket menggunakan bot nelayan kecil mengambil bekalan dari negara jiran yang dibawa masuk ke negara ini menerusi pantai sekitar Pasir Puteh.

"Mereka menjalankan kerja menyeludup mercun dan bunga api pada waktu malam bagi mengelak dikesan pasukan penguatkuasa," katanya pada sidang media di Martek Pasukan Polis Marin Tok Bali, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan menemui 18 jenis mercun dan bunga api yang dijual mengikut permintaan pengguna termasuk secara dalam talian.

Katanya, sindiket menggunakan stor tinggal bagi mengelak identiti mereka dikesan dan tiada tangkapan dibuat.

"Kita serahkan kes ini kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 11:27 AM