MOHD Khalil (dua dari kiri) diiringi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim (kiri), Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang (dua dari kanan) dan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar (kanan) menunjukkan pelbagai bunga api dan mercun yang dirampas ketika sidang media di Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.

Izlaily Nurul Ain Hussein

PENUTUP tirai 2018 menyaksikan Polis Johor berjaya melakukan rampasan mercun dan bunga api terbesar membabitkan nilai RM2.08 juta, petang semalam.

Dalam serbuan 2 petang di sebuah rumah yang dijadikan sebagai stor penyimpanan dekat Jalan Pulai Bayu 8, Taman Pulai Bayu, Johor Bahru, sebanyak 600 kotak mengandungi 29 jenis mercun dan bunga api dirampas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata semua mercun dan bunga api dirampas bernilai RM2.08 juta manakala dua kenderaan milik sindiket bernilai RM120,000 turut disita.

Beliau berkata, dalam serbuan dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua (W2) Johor itu, empat lelaki berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun turut ditahan.

Katanya, siasatan awal mendapati empat lelaki itu dipercayai bekerja mengambil upah sebagai pemunggah barang sejak November lalu dengan gaji RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

“Rumah ini terletak dalam kawasan komuniti berpagar dan kami percaya empat lelaki yang ditahan adalah pekerja kepada sindiket berkenaan.

“Kami turut merampas empat telefon bimbit dan dua kenderaan iaitu lori serta van disita.

“Siasatan awal ke atas suspek mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan semua mereka direman sehingga esok untuk membantu siasatan,” katanya ketika sidang media di Markas PPM W2 di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi kira-kira dua bulan lalu.

Menurutnya, pihaknya percaya mercun dan bunga api terbabit adalah untuk musim perayaan dan untuk pasaran tempatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 10:14 PM