Anggota bomba dan penyelamat berjaya menaikkan mayat mangsa sebelum di bawa ke hospital. FOTO Rosman Shamsudin
Anggota bomba dan penyelamat berjaya menaikkan mayat mangsa sebelum di bawa ke hospital. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


SEORANG lelaki lemas ketika menjala bersama rakannya di Sungai Bernam dekat Kampung Lambak, Tanjung Malim, 3.30 petang, hari ini.

Difahamkan, mangsa Faizul Azhar Ahmad, 38, terjatuh ketika cuba menyeberang sungai berkenaan selepas berlakunya arus deras di lokasi mangsa sedang menjala.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Zaini Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.55 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat kemudiannya berjaya menemui mangsa terapung di tengah-tengah sungai berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa naik sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan kejadian dan memberitahu mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 9:45 PM