ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa. FOTO Ihsan PDRM & Bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa. FOTO Ihsan PDRM & Bomba
Rosman Shamsudin


HASRAT lelaki warga Nepal yang ingin makan pucuk paku bersama rakan sekampungnya tidak kesampaian apabila ditemui mati lemas di Sungai Bernam berdekatan Kampung Kelawar, Tanjung Malim, 8 pagi ini.

Mangsa, Gobinda Khatri, 40an, dipercayai datang melawat rakannya, Prem Khatri yang berkerja di Kilang Ternakan Ayam, semalam sebelum keluar ke tebing sungai itu untuk mencari pucuk paku.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihak polis menerima laporan kira-kira 8 malam semalam mengenai warga Nepal jatuh ke dalam sungai.

Katanya, siasatan polis mendapati mangsa yang pertama kali datang dari Kuala Lumpur untuk mengunjungi rakannya, tiba di kilang itu kira-kira 6 petang.

"Kira-kira 7 petang, mangsa dan rakannya menyusuri tebing sungai itu untuk mencari pucuk paku tetapi mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai, malah sempat menjerit meminta pertolongan.

"Rakan mangsa cuba membantu mangsa tetapi tidak berjaya menyebabkan mangsa terus tenggelam," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, operasi menyelamat mangsa semalam terpaksa ditangguhkan disebabkan cuaca gelap.

Operasi disambung hari ini dan berjaya menemui mayat mangsa .

Beliau berkata, mangsa yang memakai baju kameja tangan panjang dan berseluar pendek tanpa kasut dijumpai kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan tersangkut pada kayu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut.

Kematian mangsa akan dimaklumkan kepada kedutaan Nepal dan mayat mangsa akan diuruskan rakan mangsa untuk dibawa balik ke negara asal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 4:23 PM