Aizat Sharif


SERAMAI 35 daripada 954 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih, Kulim mengalami keracunan makanan selepas makan nasi putih dan ayam goreng di kantin sekolah, hari ini.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 1 tengah hari.

“Murid dikesan mula mengalami simptom sakit perut pada 11.45 pagi dan mereka disyaki memakan nasi putih serta ayam goreng semasa waktu rehat yang berlangsung dalam tiga sesi pada 9.40 hingga 11.10 pagi.

“Daripada jumlah itu, hanya lima murid berusia antara tujuh hingga 11 tahun saja yang mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kulim. Selebihnya sudah dibenarkan pulang dan tiada seorang pun yang dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan murid mengalami gejala muntah dan cirit-birit.

“Pemeriksaan di kantin sekolah oleh PKD Kulim mendapati kantin berkenaan cuma menjual makanan yang siap dimasak di tempat lain oleh pengusaha kantin di Kolej Vokasional Kulim,” katanya.

Menurutnya, PKD Kulim sedang membuat siasatan lanjut berkaitan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 8:20 PM