Kenderaan Jabatan Kesihatan Negeri berada di SK Iskandar, Jalan Langgar di Alor Setar bagi memberi rawatan selepas 29 murid dan gurunya mengalami keracunan makanan hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Kenderaan Jabatan Kesihatan Negeri berada di SK Iskandar, Jalan Langgar di Alor Setar bagi memberi rawatan selepas 29 murid dan gurunya mengalami keracunan makanan hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman


DUA puluh sembilan murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar di Jalan Langgar, Alor Setar dipercayai mengalami keracunan makanan selepas selepas bersarapan di kantin sekolah berkenaan hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, murid terbabit terdiri daripada 21 lelaki dan tiga perempuan berusia antara lapan hingga 12 tahun serta empat guru perempuan serta seorang guru lelaki muntah selepas makan nasi goreng di kantin sekolah pada 7 pagi.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar menerima maklumat daripada Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 11.30 pagi berkaitan kejadian itu dipercayai selepas makan makanan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar dan Unit Kecemasan HSB bertindak segera ke sekolah dan memberi rawatan sebelum mendapati mereka mengalami gejala keracunan makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Norhizan berkata, semua pesakit dilaporkan stabil dan dirawat sebagai pesakit luar dan tiada yang dimasukkan ke wad.

Menurutnya, kantin sekolah berkenaan juga sudah diarah tutup mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Kawalan Penyakit Penyakit Berjangkit 1988.

“Siasatan lanjut masih dijalankan, dalam masa kita turut memberi pendidikan kesihatan kepada murid, pihak sekolah dan pengusaha kantin supaya mengamalkan amalan lihat, hidu dan rasa sebelum makan.

“Pihak sekolah juga dinasihatkan supaya terus memantau keadaan murid dan memaklumkan kepada PKD Kota Setar sekiranya masih ada kes sedemikian dalam kalangan murid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 5:09 PM