SEBAHAGIAN pelajar yang mengalami keracunan makanan berkumpul di dewan asrama.
SEBAHAGIAN pelajar yang mengalami keracunan makanan berkumpul di dewan asrama.
Nur Syazwana Mansor


Yan: “Kami menunggu giliran dan beratur panjang di tandas asrama selepas masing-masing mengalami sakit perut, cirit-birit serta sakit kepala sejak malam semalam (kelmarin),” kata pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Chempedak (SMKGC), Nur Aina Amirah Zahani, 13.

Nur Aina adalah seorang daripada 49 penghuni asrama SMKGC yang dirawat di Hospital Yan (HY) akibat diserang sakit perut, pening dan muntah selepas menikmati makanan di kantin asrama sekolah itu.

Difahamkan, 39 daripada mereka pelajar perempuan dan 10 pelajar lelaki daripada pelajar tingkatan satu hingga enam.

Menurut Nur Aina Amirah, kebanyakan mereka mula sakit perut dan cirit-birit sejak jam 11 malam kelmarin dan berlarutan semalam sehingga mengadu kepada warden asrama.

Katanya, dia dan rakan lain mula sakit perut selepas makan pau berinti sardin dan kaya serta nasi putih berlauk sambal udang di kantin asrama.

“Kami makan pau sardin jam 3.30 petang diikuti nasi putih berlauk sambal udang pada jam 6.30 petang.

“Selain itu, kami makan pau berinti kaya pada jam 10.30 malam semalam (kelmarin) dan kuey teow goreng ketika bersarapan, pagi tadi (semalam).

“Saya perasan tepung kuih pau yang dimakan lembik dan mentah, namun tetap menghabiskannya kerana tidak mahu membazir manakala sambal udang pula terlalu pedas,” katanya ditemui di SMKGC, semalam.

Menurutnya, hanya ada empat tandas di asrama menyebabkan mereka beratur menggunakannya hingga pagi.

“Rakan mengadu kepada warden asrama sebelum pengurusan sekolah menghantar kami ke hospital untuk rawatan.

“Kami dibenarkan pulang ke asrama jam 11.30 pagi tadi (semalam),” katanya.

Rakannya, Nur Izzatul Shahirah Md Suhaimi, 16, berkata, dia hanya makan pau berinti sardin sebelum perutnya terasa sakit dan mengalami cirit-birit.

“Perut saya mula memulas sejak malam semalam (kelmarin) hingga berulang-alik ke tandas kerana cirit-birit.

“Ini bukan kali pertama pelajar sakit perut selepas menikmati makanan di kantin asrama, cuma ini membabitkan lebih ramai pelajar.

“Sebelum ini pernah juga sakit perut sebab ada makanan yang tidak masak sepenuhnya selain pernah terjumpa serangga dalam makanan,” katanya ditemui di HY, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim ketika mengesahkan menerima laporan dan 49 pelajar termasuk dua yang dirawat di wad pemerhatian HY dibenarkan pulang.

“Punca kejadian dipercayai daripada makanan disediakan di kantin asrama sekolah, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 7:52 AM