MAHDZIR (kiri) beramah mesra dengan guru besar yang menerima Penyerahan Peruntukan Penyelenggaraan, semalam.
MAHDZIR (kiri) beramah mesra dengan guru besar yang menerima Penyerahan Peruntukan Penyelenggaraan, semalam.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan bersetuju memindahkan 1,848 guru mengikut pasangan masing-masing di tempat baru bermula sesi persekolahan tahun depan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian menerima kira-kira 7,000 permohonan pertukaran membabitkan pasangan suami isteri yang bekerja sebagai guru tinggal berjauhan selain pasangan bukan guru.

Katanya, selepas hampir sebulan jawatan kuasa khas dipengerusikan Ketua Pengarah Pendidikan ditubuhkan untuk mengkaji masalah itu, pihaknya bersetuju memberi peluang dengan mengutamakan guru senior yang mengajar melebihi lima tahun.

“Angka itu tidak termasuk mereka yang membuat permohonan pertukaran biasa melalui atas talian.

“Kita bagi peluang kepada mereka yang sudah berpisah terlalu lama dengan pasangan, malah dalam rekod kita ada pasangan yang berjauhan enam hingga tujuh tahun,” katanya selepas majlis penyerahan peruntukan penyelenggaraan sekolah bantuan kerajaan di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Bulan lalu, beliau mengarahkan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji sistem sedia ada dan mencari mekanisme baru menyelesaikan masalah guru tinggal berjauhan daripada pasangan.

Katanya, lima peratus atau kira-kira 18,000 guru adalah pasangan suami isteri yang tinggal berasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 8:40 AM