SEORANG bapa memarahi anaknya yang ditahan polis kerana menagih dadah.
SEORANG bapa memarahi anaknya yang ditahan polis kerana menagih dadah.
Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: “Tolonglah bebaskan anak saya tuan. Saya merayu!” kata seorang lelaki yang muncul di Balai Polis Setapak, di sini, sejurus mendapat tahu anaknya ditahan kerana menagih dadah.

Dalam kejadian jam 11 malam kelmarin, lelaki berusia 56 tahun itu terkejut sebaik mendapat tahu anak lelakinya berusia 23 tahun ditahan polis di Bukit Air Panas, Setapak, di sini.

Drama sedih kira-kira 30 minit itu berlarutan apabila lelaki itu turut memarahi anaknya kerana tidak serik mengambil dadah walaupun baru saja menjalani pembedahan usus hujung tahun lalu.

Lelaki itu dilihat bingung dan bimbang kerana tidak mahu anaknya dimasukkan ke lokap.

Polis bagaimanapun tetap menjalankan prosedur dengan menahan lelaki itu untuk ujian air kencing sebelum disahkan positif syabu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pemuda itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika operasi rondaan cegah jenayah oleh anggota polis dari Balai Polis Setapak.

“Lelaki ini ditahan bersama-sama tiga lelaki lain yang disyaki menyalahgunakan dadah di tiga lokasi berbeza di sekitar Setapak, kelmarin.

“Sejurus ditahan dan dibawa ke Balai Polis, bapanya tampil ke balai dan menjelaskan anak dalam keadaan tidak sihat dan dalam proses penyembuhan selepas pembedahan usus ekoran terbabit kemalangan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bapa lelaki turut memarahi anaknya, namun anggota polis memujuk dan menenangkan lelaki itu.

“Lelaki itu mengaku mengambil dadah dan menagih sejak dua tahun lalu. Kami menjalankan ujian air kencing dan mendapati dia positif dadah,” katanya.

Pada operasi sama, tiga lelaki warga Pakistan berusia 22 hingga 32 tahun ditahan di sebuah kondominium di Jalan Genting Klang kerana bekerja secara haram sebagai pengawal keselamatan.

“Mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan di kondominium berkenaan. Kami mengesan kesalahan itu pergi ke lokasi dan menahan mereka untuk siasatan lanjut.

“Seorang daripada mereka mengaku bekerja separuh masa sebagai pengawal keselamatan. Mereka disiasat mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 9:04 AM