SUSPEK yang ditahan ketika mengedar dadah di PPR Air Panas.
SUSPEK yang ditahan ketika mengedar dadah di PPR Air Panas.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Tidak sedar dirinya sedang diintip polis. Itu yang berlaku apabila seorang tokan dadah dicekup ketika sedang menghantar ‘pesanan’ pelanggan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Setapak di sini.

Difahamkan suspek yang ditahan jam 2 petang semalam adalah antara tokan dikehendaki polis kerana aktif mengedar dadah secara kecil-kecilan di sekitar Setapak di sini.

Ketika diperiksa, polis menemui 15 peket serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dianggarkan seberat 26 gram pada tubuh mangsa.

Dalam operasi diketuai Ketua Balai Polis Setapak Asisten Superintenden Wee Bee Seng itu, polis terpaksa melakukan intipan selama 20 minit sebelum berjaya menahan suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintenden Ramli Kasa berkata, pihaknya mendapat maklumat aktiviti jenayah dilakukan suspek lelaki berusia 24 tahun itu sebelum membuat intipan.

“Sepasukan polis membuat intipan sebelum segera menahan suspek yang tidak sempat menyerahkan bungkusan dadah kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui wang tunai dipercayai duit hasil jualan dadah sebanyak RM459.

“Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 6:51 AM