SEBAHAGIAN jemaah umrah terkandas  berikutan pembatalan penerbangan ke Makkah, malam semalam.
SEBAHAGIAN jemaah umrah terkandas berikutan pembatalan penerbangan ke Makkah, malam semalam.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Misi mereka adalah mengejar lebih ramai pelanggan dengan harapan ingin mengaut keuntungan berlebihan namun sebenarnya mereka tidak berupaya mengendalikan jemaah itu disebabkan kekangan kakitangan dan pengurusan.

Akibatnya, timbul masalah apabila bakal jemaah umrah gagal mendapatkan visa sehingga terkandas di lapangan terbang, malah jika visa diperoleh sekali pun, jemaah mendakwa mereka diabaikan serta tidak mendapat layanan sewajarnya ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.

Itu antara risiko yang kerap dihadapi jemaah umrah di negara ini sejak beberapa tahun lalu sehingga ia menjadi kes berulang setiap tahun.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah mengakui wujud risiko berkenaan disebabkan sikap pengusaha umrah yang tamak dan terlalu bercita-cita tinggi terutama dalam mengejar keuntungan berlebihan.

Menurutnya, beliau memahami adat orang berniaga dan kebiasaannya akan ada pihak yang mencari kesempatan dan tidak jujur dalam berniaga semata-mata ingin mencari keuntungan cepat dengan menipu pelanggan.

“Kalau mereka (pengendali umrah) tahu tidak mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk menguruskan jemaah ramai, mereka tidak perlu mengendalikan jemaah yang ramai kerana akan menimbulkan masalah pada kemudian hari.

“Keadaan itu boleh mengundang risiko termasuk kemungkinan gagal mendapatkan visa dan pelanggan pula tidak mendapat layanan sewajarnya di Tanah Suci sebagaimana dijanjikan dalam pakej umrah,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, mereka (pengusaha umrah) terlalu tamak untuk mengendalikan program itu, namun sebenarnya tidak berdaya.

Rashidi berkata, pihaknya ingin menasihatkan pengendali umrah supaya mengendalikan umrah dengan baik kerana ia program agama selain menghormati niat pelanggan untuk melakukan umrah.

“Berdasarkan Peraturan 6(1A) di bawah Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992, ada beberapa syarat yang dikenakaan ke atas pengendali pelancongan berlesen yang terbabit dalam mengendalikan pakej umrah dan ziarah.

“Pelanggaran oleh mana-mana syarikat pelancongan berlesen adalah menjadi suatu kesalahan dan sekiranya disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, kementerian bagaimanapun masih memerlukan aduan daripada jemaah sebelum sebarang tindakan boleh diambil terhadap pengendali umrah.

Rashidi berkata, kebiasaannya jemaah yang pulang pula tidak pernah mengadu kepada kementerian, sebaliknya mereka diajar supaya reda terhadap segala yang berlaku di Tanah Suci.

“Namun, sejak akhir-akhir ini, pengguna sudah mula memahami hak mereka terutama apabila dianiaya pengendali umrah di Tanah Suci selepas beberapa kempen kesedaran dianjurkan menerusi Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU).

“Sejak MKSU diwujudkan dua tahun lalu, pelbagai langkah diambil untuk memantau dan seterusnya memastikan kes berkaitan penipuan pakej umrah serta ketidakpatuhan terhadap Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992 dapat dikurangkan,” katanya.

Katanya, pihaknya melihat pengguna sudah mulai sedar mengenai hak mereka di mana sepanjang tahun ini, sebanyak RM154,000 nilai kompaun dan denda dikenakan kepada pengendali umrah yang cuai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 9:34 AM